Pendidikan bertaraf dunia bentuk guru masa depan cemerlang

Pendidikan bertaraf dunia membentuk guru masa depan yang cemerlang

guru
Bidang pendidikan kian berkembang dengan pesat pada masa kini, justeru permintaan untuk guru sekolah antarabangsa yang berkelayakan dan berpengalaman semakin melonjak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIDANG pendidikan kian berkembang dengan pesat pada masa kini, justeru permintaan untuk guru sekolah antarabangsa yang berkelayakan dan berpengalaman semakin melonjak. 

Sebagai guru sekolah antarabangsa, mereka bukan sahaja berpeluang untuk mengembara dan bekerja di sekolah-sekolah paling berprestij di seluruh dunia, malah pelbagai pakej manfaat yang komprehensif juga disediakan termasuk gaji yang lumayan, penginapan percuma, penjagaan kesihatan dan pendidikan swasta untuk anak-anak.

Menurut Majlis Sekolah Antarabangsa British (COBIS), hampir dua pertiga ahlinya di United Kingdom (UK) menyediakan sokongan kepada para guru tempatan untuk memperoleh kelayakan mengajar di sana. 

Pelaburan dalam membangunkan dan melatih guru tempatan ini dianggap sebagai salah satu strategi jangka panjang yang mampan bagi mengurangkan kebergantungan pada guru ekspatriat yang menelan kos lebih besar, di samping meningkatkan kapasiti dan keupayaan pengajaran di sekolah untuk mendorong pelajar mencapai prestasi yang lebih memberangsangkan.

Mengapa permintaan untuk guru antarabangsa ini sangat tinggi? Pada tahun 2016, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengumumkan bahawa 69 juta guru baharu diperlukan di seluruh dunia menjelang tahun 2030. 

Justeru, pelbagai strategi telah disusun oleh negara-negara untuk mencapai sasaran tersebut. Selain permintaan yang tinggi untuk tenaga pengajar, perkembangan sekolah antarabangsa juga telah menunjukkan trend menaik. 

Malangnya, walaupun kekosongan guru sekolah-sekolah antarabangsa di Malaysia meningkat 36% tahun lepas, bilangan permohonan yang diterima agak rendah. Dalam erti kata lain, bekalan guru yang sedia ada tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan semasa.

Untuk menyahut cabaran ini, kerajaan UK telah melancarkan program International Qualified Teacher Status (iQTS) pada September 2022. 

Program ini disusun khas untuk para guru yang ingin mengembangkan kemahiran profesional dan kelayakan perguruan tempatan mereka. Sijil iQTS akan dianugerahkan kepada para guru yang berkebolehan memahami dan menyampaikan tahap kualiti pengajaran bertaraf antarabangsa. 

Program ini telah merekrut guru-guru pelatih dari sekolah antarabangsa merentasi lebih 40 negara – termasuk Malaysia. Setelah selesai, kelayakan iQTS akan membolehkan para guru ini memohon kerja dan berkhidmat di seluruh dunia.

Kerajaan UK mengalu-alukan ilmu pengetahuan, kemahiran, perspektif yang luas, minda yang terbuka dan kepelbagaian budaya yang disumbangkan oleh guru antarabangsa dalam profesion perguruan. 

Untuk memperoleh kelayakan iQTS UK, guru tempatan tidak perlu berhenti kerja dan terbang ke UK, sebaliknya mereka boleh mengakses program latihan ini dengan mudah di negara sendiri dan melengkapkannya sambil bekerja. 

Latihan iQTS disediakan oleh rakan-rakan perkhidmatan yang diluluskan kerajaan UK, termasuk pelbagai universiti dan institusi latihan perguruan. 

Kerjasama dengan sekolah antarabangsa dilihat sebagai satu langkah jaminan kualiti dalam melahirkan guru-guru yang terlatih, berkebolehan dan berkelayakan untuk mengajar dalam tempoh 1 tahun. Ini adalah peluang TERBAIK untuk membentuk guru masa depan yang cemerlang.

Bagi guru tempatan yang tidak mahu berkhidmat di luar negara, terdapat lebih 300 sekolah antarabangsa di Malaysia yang mengiklankan lebih 688 kekosongan jawatan pada tahun lepas. 

Dengan permintaan yang sangat tinggi berbanding sebelumnya, ditambah jaminan pekerjaan yang baik serta program latihan dan kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, inilah peluang keemasan untuk menceburi kerjaya sebagai guru sekolah antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut tentang iQTS dan senarai institusi yang menawarkan program ini, sila layari: https://getintoteaching.education.gov.uk/non-uk-teachers/international-qualified-teacher-status

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya