BATU KAWAN: Pengendali Penang FC, Manzoor Azwira Abd. Wahid mahu meletakkan sasaran yang lebih realistik untuk saingan Liga Super musim ini memandangkan skuad itu ketika ini dibarisi oleh 90 peratus muka baharu.
Oleh itu katanya, keupayaan Harimau Kumbang untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 pasukan terbaik adalah suatu pencapaian yang memuaskan sekali gus menebus kekecewaan berada pada tangga tercorot liga musim lalu.
Beliau berkata, jika memperoleh kedudukan yang lebih baik pula, ia boleh dianggap sebagai bonus untuk pasukan.
“Saya tidak mahu bagi harapan yang sia-sia kepada penyokong. Saya juga tidak mahu bagi harapan yang akan buat orang beri tekanan kepada pasukan. Lebih baik kita bertindak dari satu peringkat ke peringkat yang lain.
“Saya bagi contoh. Kuala Lumpur (KL City FC) nak dapat masuk final Piala AFC dengan (final) Piala Malaysia ambil masa tiga tahun. JDT (Johor Darul Ta’zim) bila TMJ (Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim) ambil alih pun ambil masa dua ke tiga tahun (untuk berjaya).
“Jadi, kita kena realistik. Itu yang terbaik (untuk Penang FC),” katanya.
Beliau ditemui pemberita sejurus menyaksikan skuad Harimau Kumbang ‘membaham’ wakil Singapura, Geylang International FC 4-0 dalam aksi pramusim untuk saingan Piala Harapan 2023 di Stadium Batu Kawan, di sini malam tadi.
Terdahulu, satu majlis pelancaran jersi baharu untuk Penang FC bagi musim 2023 dilakukan di pekarangan stadium berkenaan dengan dihadiri oleh ratusan peminat walaupun dalam cuaca hujan.
Mengulas lanjut, Manzoor Azwira berkata, ketika ini, beliau masih mencuba untuk membentuk kombinasi terbaik dalam kalangan pemain selepas mengharungi lima aksi persahabatan menjelang saingan Liga Super tidak lama lagi.
“Keputusan (aksi persahabatan) itu bukan sesuatu yang saya titik-beratkan, tapi, lebih kepada pembentukan pasukan. Mungkin orang akan cakap saya ulang benda yang sama, tapi itu adalah proses.
“Mana mungkin satu atau dua ‘game’ (sahaja) kita boleh jadi satu pasukan yang lengkap, masih terlalu awal dan masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.
Beliau berkata, apa yang penting adalah semua pemain khususnya perlu bekerja dengan lebih kuat jika ingin melakar kejayaan musim ini.
“Orang bijak pandai selalu ungkap: ‘Kota Rom tak dapat dibina dalam masa sehari’. Kemudian, sekarang pula ‘trust the process’ (yakini sesuatu proses itu). Jadi, kita perlulah (guna) trend ini (untuk Penang FC),” katanya berseloroh. – UTUSAN