Pemilihan UMNO Bahagian Padang Besar saksikan pertembungan muka baharu - Utusan Malaysia

Pemilihan UMNO Bahagian Padang Besar saksikan pertembungan muka baharu

AZIZAN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Pemilihan UMNO Bahagian Padang Besar bakal menyaksikan pertembungan muka-muka baharu bagi merebut setiap jawatan dipertandingkan pada kali ini.

Selepas tarikh akhir percalonan semalam, jawatan Ketua UMNO Bahagian itu bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Khairul Akhbar Ahmad Zabidi dan Ruzaini Rais.

Selain itu, jawatan Timbalan Ketua Bahagian pula melibatkan persaingan empat penjuru antara penyandang, Azizan Sulaiman yang bakal dicabar oleh Nor Helmey Hamdah, Khairul Anuar Ahmad dan Noor Hairi Noor Mohammed.

Bagi jawatan Naib Ketua Bahagian pula, empat calon telah menghantar borang pencalonan terdiri daripada Shahidol Kofli Salim, Omar Han Ismail, Ahmad Nazim Yahaya dan Siti Berenee Yahaya.

Mengulas mengenai proses pemilihan kali ini, Azizan yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Padang Besar berkata, parti itu membuka ruang seluas-luasnya buat mana-mana pihak untuk bertanding dalam memastikan pertembungan sihat antara setiap calon terlibat.

“Bagi saya pemilihan kali ini tiada masalah dan diharapkan jawatankuasa baharu yang dibentuk nanti dapat memberi nafas baharu buat UMNO Bahagian Padang Besar memandangkan setiap calon yang bertanding pastinya komited untuk berkerja,” katanya.

Pemilihan UMNO Bahagian Padang Besar pada kali ini bakal menarik perhatian selepas bekas Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Zahidi Zainul Abidin dipecat keanggotaannya daripada parti pada November lepas selepas memilih bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, calon Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Nor Helmey Hamdah berkata, pemilihan kali ini dianggap serius memandangkan ia merupakan permulaan bagi kebangkitan semula parti itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, UMNO perlu bersedia bagi menampilkan pemimpin yang dapat diterima rakyat dalam meraih semula sokongan terhadap parti itu pasca PRU15.

“Kita telah mengetahui cita rasa rakyat dan langkah seterusnya adalah untuk memastikan agar parti dapat berusaha sebaiknya dalam menepati kehendak serta ciri pemimpin yang diinginkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya