Pembantu tukang masak dituduh sebab kematian majikan

Pembantu tukang masak dituduh sebab kematian majikan

AZAHARI Hamid (tengah) diiring anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret bagi berdepan pertuduhan menyebabkan kematian seorang warga emas di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pembantu tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang warga emas, awal bulan ini.

Tertuduh, Azahari Hamid, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan gopoh hingga menyebabkan kematian warga emas, Ishak Othman, 69.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 5.15 petang, 4 Februari lalu di belakang sebuah restoran di Jalan Stadium, di sini.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, manakala tertuduh diwakili peguam, Pyara Singh.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan membayar jaminan itu manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac depan sementara menanti laporan bedah siasat.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kematian warga emas tersebut di belakang restoran miliknya setelah dia dipercayai bergaduh dengan pekerjanya.

Kejadian itu dikatakan bermula apabila berlaku perselisihan faham antara anak mangsa dengan isteri suspek yang turut bekerja di restoran tersebut.

Keadaan itu kemudiannya menimbulkan ketegangan antara mangsa dan suspek sebelum mereka bergaduh dan warga emas berkenaan tiba-tiba rebah selepas dileraikan daripada pergaduhan tersebut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya