BUTTERWORTH: Polis menahan seorang pemandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang bertindak merempuh sebuah motosikal dan membuat pusingan U di Jalan Baru, Perai di sini semalam yang video kejadian itu tular dalam media sosial.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, suspek tempatan berusia 40-an terbabit diberkas sepasukan anggota polis ketika cuba melarikan diri ke arah Seberang Jaya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, terdahulu video kejadian itu yang berdurasi 14 saat dikesan tular selepas dimuat naik menerusi satu laman sosial Facebook kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
Menurutnya, siasatan polis mendapati, kejadian tersebut melibatkan seorang pemandu sebuah kereta jenis Proton Iswara yang bertindak melarikan diri semasa pemeriksaan cegah jenayah oleh anggota polis dari Balai Polis Perai.
“Seorang lelaki tempatan telah melarikan diri apabila diarah berhenti untuk pemeriksaan kerana didapati berada dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa di tempat kejadian, anggota polis cuba menahan motokar tersebut, namun suspek telah bertindak melanggar motosikal anggota sehingga jatuh. Suspek kemudiannya membuat pusingan U dan melarikan diri ke arah Seberang Jaya.
“Dia berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menemui beberapa senjata berbahaya dan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Api Berbahaya 1958.
Kata beliau, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 186, Seksyen 353, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN