KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga sate memiliki dua alat pemadam api dilengkapi roda jenama Yamato Dikellanrujan dipercayai dari Jepun pada tahun 60-an dan 70-an yang menjadi buruan pengumpul barangan antik.
Azlan Alias, 39, dari Teluk Pasu di sini yang juga pengumpul barang antik berkata, kedua-dua alat pemadam api tersebut dibeli daripada seorang penduduk di Kampung Wakaf Tapai, Marang pada 2002.
Dia percaya alat pemadam api itu mungkin musnah sekiranya dijual kepada peniaga besi buruk.
“Alat pemadam api ini dipercayai digunakan di kapal atau kilang industri,” katanya ketika ditemui di Kampung Teluk Pasu di sini, semalam.
Azlan memberitahu, salah sebuah alat pemadam api itu mempunyai berat kira-kira 150 kilogram dan tinggi lebih satu meter dengan dilengkapi roda untuk mudah alih kerana agak berat.
Selain itu, tambahnya, dia juga memiliki sebuah lagi alat pemadam api dipercayai dikeluarkan sekitar tahun 70-an yang turut dilengkapi roda lebih kecil dan ringan.
Dia berhasrat menjual alat pemadam api tersebut terutama kepada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat agar dapat dijaga dengan lebih baik.
“Beberapa peminat dan pengumpul barang antik turut menyatakan minat untuk membeli kedua-dua alat pemadam api ini,” katanya. – UTUSAN