Pelabuhan laut dalam ancam penduduk, nelayan - Utusan Malaysia

Pelabuhan laut dalam ancam penduduk, nelayan

KEADAAN lokasi persisiran pantai yang menjadi laluan keluar dan masuk bot nelayan bakal terganggu akibat penambakan laut ketika tinjauan di Kampung Portugis, Ujong Pasir, Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil penduduk terjejas mahu kerajaan negeri mempertimbang semula cadangan projek tambakan laut terbaharu bagi membina pelabuhan laut dalam dan terminal pelayaran di Melaka.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Selamatkan Komuniti Portugis Melaka, Martin Theseira berkata, penduduk tidak menentang pembangunan, sebaliknya proses itu harus direncanakan dengan sebaik mungkin agar menjamin keles­tarian terhadap alam sekitar dan masyarakat.

Menurutnya, komuniti nelayan terutama di kawasan Parit Cina sangat kecewa apabila setiap tahun jumlah tangkapan mereka semakin merosot.

“Saya juga seorang nelayan. Tangkapan ikan merosot hampir 65 peratus jika dibandingkan 30 tahun lepas. Semakin lama projek ini berjalan, semakin terjejas pendapatan kami.

“Udang geragau semakin sikit, ikan gelama dan ketam bunga sudah kurang. Nelayan terpaksa pergi jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan dan kami terpaksa menanggung kos tambahan seperti petrol dan menggunakan enjin yang sesuai,” katanya.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, beberapa NGO, penduduk bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menghantar surat bantahan ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek tebus guna tanah seluas 1,190 ekar bagi pembinaan pelabuhan laut dalam bertaraf antarabangsa dan terminal pelayaran.

Sementara itu, seorang penduduk, Hairil Anuar Samat, 52, berkata, dia kini sudah me­ngumpul lebih 100 tandata­ngan penduduk sekitar Padang Temu, Telok Mas dan Alai yang membantah cadangan projek tambakan laut itu.

Katanya, kawasan di sekitar Crystal Bay sendiri kerap berlaku bencana banjir yang teruk sehingga mengakibatkan kerugian harta benda kepada penduduk setempat.

“Masyarakat kampung sa­ngat mengharapkan projek berkenaan tidak diteruskan oleh kerajaan negeri untuk kebaikan bersama. Alam sekitar di pesisir pantai sedia ada sudah terjejas dan jangan ditambah kesan negatif daripada pembangunan baharu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya