KANGAR: Seorang pekerja pembersihan di Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Hemodialisis MAIPs Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini sanggup menjual tanah miliknya untuk membeli dua buah mesin dialisis bernilai RM80,000 yang diwakafkan di pusat berkenaan.
Niat Khalipulzan Mansur,54, hanya satu iaitu sebagai saham akhirat selain untuk kedua-kedua arwah datuk dan neneknya iaitu Rafiah Saat dan Ibrahim Abdullah yang telah menjaganya sejak kecil.
Khalipulzan berkata, tanah seluas hampir satu hektar itu dijual hujung tahun lalu dan sebahagian hasilnya digunakan untuk membeli mesin dialisis berkenaan bernilai kira-kira RM80,000.
Dia yang mengalami masalah pendengaran itu berkata, setiap hari dia melihat para pesakit menjalani dialisis di pusat berkenaan dan timbul rasa ingin membantu iaitu dengan cara mewakafkan mesin dialisis tersebut.
“Saya tinggal dengan datuk dan nenek sejak berusia sembilan bulan sehingga mereka meninggal sejak 10 tahun lalu. Mereka banyak berjasa yang menjaga saya sejak kecil.
“Mereka mewasiatkan tanah berkenaan kepada saya. Untuk saham akhirat kedua-dua insan tersayang itu juga, adalah lebih baik saya menggunakan ke arah kebaikan termasuk mewakafkan mesin dialisis berkenaan.
“Selagi orang menggunakan mesin berkenaan, selagi itu kita mendapat pahala. Saya gembira melihat orang menggunakan mesin berkenaan untuk rawatan pesakit buah pinggang itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini
Kisah Khalipulzan yang berhati mulia itu mendapat perhatian luas di media sosial sejak semalam yang memuji kebaikan lelaki berkenaan yang patut menjadi contoh atau inspirasi kepada masyarakat di negara ini.
Khalipulzan yang tinggal seorang diri selepas kematian anak pada 2014 dan berpisah dengan isteri berkata, meskipun hanya bekerja sebagai petugas pembersihan sejak 15 tahun lalu namun tidak menghalang untuk dia berkongsi apa yang ada demi saham akhirat kelak.
“Insya-Allah kalau rezeki lagi pada masa depan saya akan membeli lagi mesin berkenaan,” katanya yang tinggal di Jalan Jalan Batu Lima Kaki Bukit di sini.-UTUSAN