PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan asas perjuangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sudah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan Pejuang keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA) juga seolah-olah seperti ‘menolak’ dirinya yang juga Pengerusi Penaja GTA dan ahli Pejuang.
“Pejuang sudah tolak GTA maknanya dia (Pejuang) tolak saya sekali lah. Saya bersama GTA dan Pejuang sejak dahulu (awal penubuhan) lagi.
“Saya melihat aliran Pejuang sudah nampak lain sikit sekarang. Sebab itu saya letak jawatan dan keluar daripada Pejuang,” katanya ketika ditemui pada satu program di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Ditanya apa perancangan seterusnya selepas keluar daripada Pejuang, Dr. Mahathir berkata, beliau mahu mengukuhkan GTA, malah bersedia menerima sesiapa sahaja yang bersih dan mempunyai idealogi sama untuk berjuang demi bangsa, negara dan agama.
“(Gabungan lain) kalau nak bekerjasama, kita terima, kita akan terima sesiapa sahaja yang bersih. Setakat ini, kita tidak menerima mana-mana permohonan daripada sesiapa lagi,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah mengumumkan Dr. Mahathir bersama 12 ahli lain memutuskan untuk keluar dari parti itu.
Dalam surat peletakan itu, mereka menyuarakan kekecewaan terhadap Pejuang kerana memutuskan hubungan dengan GTA, yang secara tidak langsung menyingkirkan mereka sebagai penggerak perjuangan gabungan itu.
Turut meninggalkan Pejuang termasuk Timbalan Presidennya, Marzuki Yahya; bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan, Afiqah Mohamad, Nurhairi Rahmat, Fyzul Adzwan Mustafa Kamal, Mohamad Jani, Ahamed Basheer, Azman Mohd Hashim, Mohd Jefrie Hussin, Armin Baniaz Pahamin dan Wan Azliana Wan Adnan.
Pejuang ditubuhkan Dr. Mahathir pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai pengerusi parti pada Disember tahun lalu.
Pada PRU15 lalu, semua calon Pejuang termasuk Dr. Mahathir dan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hilang wang deposit. – UTUSAN