KOTA BHARU: Jika sebelum ini ramai pelancong ke Kelantan kerana terpesona dengan keunikan budayanya, kini mereka boleh mengunjungi pasar terapung di Kubang Kerian sebagai tarikan terbaharu.
Pasar Terapung Pulau Tengah, Kubang Kerian di sini yang mula beroperasi di bawah pengurusan Abam Peah Holdings Sdn. Bhd. kelmarin, adalah yang keempat di negeri ini selepas Pasar Terapung Pulau Suri, Sri Tanjung di Tumpat dan Pengkalan Datu, Kota Bharu.
Pengarahnya, Azli Mohd. Noor berkata, pasar terapung itu adalah khidmat sosial pihaknya dalam membantu menggerakan ekonomi penduduk setempat melalui aktiviti urus niaga.
Katanya, buat permulaan dia menghulurkan sedikit sumbangan modal kepada peniaga untuk memulakan perniagaan mereka di pasar terapung berkenaan.
“Pasar ini dibuka setiap hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu bermula pukul 3 petang hingga 7 malam melibatkan seramai 20 peniaga.
“Kesemua peniaga ini duduk di atas perahu yang disediakan pihak kami,” katanya semalam.
Nor Azli berkata, dia memilih menjadikan kawasan ini sebagai tarikan pelancongan kerana mempunyai keindahan alam semula jadi.
Katanya, pada waktu malam orang ramai dapat melihat kelip-kelip dengan menyelusuri sungai menggunakan bot.
Sementara itu seorang pengunjung, Mohd. Saiful Nizam Roslee berkata, selain keindahan alam semula jadi, pasar terapung itu turut menyajikan pilihan makanan yang menarik.
Dia berharap lebih banyak aktiviti kesenian dan kebudayaan dapat ditonjolkan sebagai salah satu tarikan kepada orang ramai. – UTUSAN