SHAH ALAM: Mungkin jodoh tidak panjang bagi pasangan kekasih berusia 29 dan 31 tahun apabila salah seorang daripada mereka, Yee Zong Han dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 157.39 gram, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhi hukuman tersebut terhadap tertuduh terhadap lelaki itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Zong Han yang merupakan bekas pengurus acara turut dijatuhi hukuman dua hingga tiga tahun bagi empat pertuduhan lain memiliki dadah ketamine dengan berat keseluruhan 231.57 gram (g) dan racun jenis Etizolam seberat 18.62g.
Selain itu mahkamah turut, mengenakan hukuman penjara dan dijalankan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 20 Ogos 2019.
Hakim dalam penghakimannya memaklumkan asas keputusan hukuman tersebut apabila keterangan Zong Han dianggap lebih bersifat penafian tanpa disokong bukti kukuh selain pembelaannya berubah-ubah.
“Tertuduh juga mempunyai pengetahuan (tentang dadah terbabit) kerana merupakan penyewa kondominium. Jadi, tiada hukuman lain dalam seksyen tersebut selain hukuman mati,” tegasnya.
Sementara itu, pasangannya Low Ee Leng, 29, yang juga bekas kerani akaun dilepas dan dibebaskan dari semua pertuduhan oleh mahkamah selepas berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama mengedarkan dadah MDMA seberat 157.39g dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK) iaitu hukuman gantung sampai mati.
Dua pertuduhan lain adalah juga secara bersama-sama memiliki dadah jenis ketamin masing-masing seberat 229.41g dan 2.16g seterusnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 KK.
Selain itu, mereka juga didakwa dua lagi pertuduhan dalam milikan bersama Etizolam dengan berat 15.08g serta 3.54g mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 30(5) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 KK.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Prima Selayang dekat sini pada pukul 11.50 malam, 20 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat mengemukakan 13 saksi dan 76 eksibit sepanjang perbicaraan bermula Januari tahun lalu. Pada prosiding pembelaan kedua-dua tertuduh memberikan keterangan di kandang saksi.
Zong Han diwakili Peguam Gooi Soon Seng dan Belinda Low Siet Yan sementara Ee Leng diwakili Peguam Kee Wei Lon serta Low Wei Loke. – UTUSAN