PARLIMEN: Jangan sewenangnya tawar penduduk Kampung Baru tanpa jaminan wang 

PARLIMEN: Jangan sewenangnya tawar penduduk Kampung Baru tanpa jaminan wang 

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memohon kerajaan tidak sewenang-wenangnya membuat tawaran kepada pemilik tanah Kampung Baru, di sini,  bagi menyelesaikan kemelut pelan pembangunan di kampung itu.

Kerajaan perlu benar-benar memastikan boleh membiayai sepenuhnya pembelian tanah Kampung Baru, sebelum membuat sebarang tawaran kepada penduduk di situ. 

“Apa yang berlaku pada kerajaan sebelum ini, apabila tawaran dibuat kepada pemilik tanah Kampung Baru, seolah-olah esok mereka sudah ada duit. 

“Jadi, semua waris tanah Kampung Baru ini teruja, beria-ia sangat mahu menerima tawaran itu tetapi tawaran itu sebenarnya tidak pernah diluluskan oleh Kabinet dan tidak pernah ada wang disediakan untuk membeli dan macam mana seorang menteri membuat tawaran. 

“Saya mahu memastikan perkara seperti ini tidak lagi berlaku kerana dia boleh kelirukan orang-orang Kampung Baru dengan tawaran sedemikian rupa,” katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima baik cadangan Johari sebagai antara jurucakap paling lantang dalam mempertahan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru. 

“Sebab itu saya sebagai Menteri Kewangan melihat kedudukan di situ dan saya berterus terang, meminta RM7 bilion memang tiada, tetapi kadang-kadang sebelum itu diberi jaminan begitu sahaja, sebab itu proses itu harus ada. 

“Dalam keadaan ada kekangan wang, kita tidak bersedia melepaskan hak milik orang Melayu di situ. Sebab itu kena ada runding cara, kaedah termasuk swasta. Swasta sekalipun jangan sehingga ada program jaminan lissing (sewaan) yang menyebabkan bukan Melayu boleh duduk di Kampung Baru sampai 90 tahun. 

“Oleh kerana ada jaminan dari awal yang termaktub di dalam Perlembagaan dan akta, maka kita harus pertahankan. Tentunya, Yang Berhormat Titiwangsa dimohon untuk beri kerjasama bersama dengan Menteri Wilayah Persekutuan secara langsung bagi mewakili penduduk Kampung Baru supaya ada kaedah yang lebih baik dalam hal ini. 

“Soal jaminan menteri sebelum ini, itu soal merekalah. Saya tidak fikir ini beri pengaruh kepada dasar-dasar yang dilakukan dan apa-apa yang melibatkan peruntukan wang besar mesti dibawa ke Kementerian Kewangan dan Kabinet luluskan,” katanya. 

Dalam pada itu, Anwar menolak beberapa cadangan pembangunan semula Kampung Baru yang dikemukakan kerajaan terdahulu, sebaliknya memberi jaminan pentadbirannya akan mencari kaedah lain yang menjaga kepentingan orang Melayu di penempatan itu.

Katanya, terdapat tiga cadangan dikemukakan berhubung pembangunan Kampung Baru sebelum ini, namun beliau melihat ketiga-tiganya tidak wajar dilaksanakan kerana mengabaikan kepentingan orang Melayu atau membebankan kerajaan.

“Ada cadangan untuk mengadakan proses jual beli dengan tanggungan kerajaan yang mencecah RM6 hingga RM7 bilion, yang tidak mampu dikendalikan kerajaan sekarang.

“Ada juga cadangan membawa syarikat swasta membangunkan Kampung Baru, tapi menjejaskan kepentingan dan kedudukan orang Melayu di bawah Malay Agricultural Settlement (MAS).

“Ada juga cadangan mengadakan proses pajakan, maknanya penduduk Kampung Baru boleh pajak. Saya tidak fikir ini semua wajar. Kalau pajak 60 hingga 99 tahun, akan timbul keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu di Kampung Baru kerana terlepas tangan. Ini saya tak boleh terima.

“Apa pun kita lakukan, harus memastikan pembangunan berjalan tetapi kepentingan masyarakat Melayu di Kampung Baru tetap dipertahankan,” katanya .

Beliau sebelum itu menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang bertanya sama ada kerajaan akan meneruskan pembangunan menyeluruh Kampung Baru seperti diusahakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya