NIBONG TEBAL: Program jualan Penang Agro Market (PAM) akan diperluas dan diadakan di setiap daerah bagi mencapai misi ‘serampang dua mata’ yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak iaitu peniaga dan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, dalam hal ini, peniaga beruntung kerana berpeluang memasarkan terus produk mereka tanpa melalui ‘orang tengah’.
Pada masa sama, katanya, pengguna juga mendapat manfaat apabila boleh membeli produk-produk yang dipasarkan dengan subsidi harga yang bersasar.
“Kita akan teruskan usaha ini bagi membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan khususnya di bawah kategori B40 dan mungkin juga M40.
“Yang pasti, program jualan ini akan diteruskan sementara kerajaan dapat menstabilkan harga barang keperluan harian dan mencapai inisiatif memperkasa ‘food security’ (jaminan makanan),” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Terdahulu, beliau meluangkan masa meninjau program PAM di pekarangan Masjid As-Solihin, Kampung Kepala Gajah di sini bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Datuk Dr. Amar Pritpal Abdullah dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Mohd. Azraie Ramli.
Kira-kira 40 usahawan atau peniaga yang menjual pelbagai produk dari seluruh Pulau Pinang serta beberapa negeri jiran mengambil bahagian dalam program jualan tersebut yang berlangsung selama sehari.
Tambah Abdul Halim, selain FAMA, pihaknya akan bekerjasama dengan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang untuk tujuan sama.
Dalam pada itu, FAM Pulau Pinang dalam satu kenyataan berharap penganjuran PAM dapat diteruskan kerana tawaran produk ‘berimpak tinggi dengan harga mampu milik’ sempena program jualan tersebut boleh menjadi daya tarikan kepada penduduk setempat untuk hadir.
“Bagi tahun 2023, FAMA Pulau Pinang menyasarkan untuk melaksanakan sebanyak 120 program PAM di seluruh negeri ini,” kata kenyataan itu. – UTUSAN