BALING: Penduduk Kampung Melaka, Mukim Sok, di sini rasa berbaloi apabila tanaman padi huma yang diusahakan sejak tahun lalu berbuah dan boleh dituai.
Mohd. Zain Taib, 59, yang juga petani berkata, dia mula menanam padi jenis itu Ogos lalu, kini padi itu menguning dan boleh dituai.
“Saya dan isteri, Hawiah Wahab, 55, kini tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan orang ramai yang mahu merasa beras padi huma.
“Berasnya sangat sedap, wangi, apatah lagi jika dimasak dengan menggunakan dapur kayu arang dan dimakan bersama gulai batang keladi, ikan pekasam, ikan sungai yang dibakar dan juga sambal serta ulam-ulaman,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, permintaan beras padi huma pada tahun ini amat banyak walaupun harga sekilogram mencecah RM25 dan dijangkakan hasil tuaian tahun ini boleh menghampiri 190 kilogram dengan keluasan tanah dua hektar.
Sementara itu, bagi membolehkan setiap pelanggan merasa beras padi huma itu, Mohd. Zain akan menjual dengan timbangan sama rata agar setiap pembeli dapat merasai nikmat dan kesedapan nasi beras huma.
“Menanam padi huma jenis ‘padi langsat’ atau “padi putih’ ini tidak banyak karenah, senang penjagaannya kerana ia tidak memerlukan air yang banyak, cukup sekadar bekalan air hujan yang turun.
“Namun, ancaman yang paling besar adalah burung-burung cak padi, belalang dan beberapa jenis serangga lagi sekiranya tiada penjagaan yang elok kerana hasilnya kelak tidak akan menjadi atau berkurangan,” katanya.
Tambahnya, setakat ini, Jabatan Pertanian Daerah Baling memberikan bantuan pukat yang dipasang sebagai bumbung untuk mengelak burung-burung memakannya selain berupa baja organik, mesin pengasingan padi serta paip air.
Malah, hasil tuaian yang lumayan itu menaikkan semangatnya dan isteri sehingga mereka bercadang untuk memperluas kawasan penanaman padi huma bagi memenuhi permintaan pelanggan.-UTUSAN