PETALING JAYA: Reman terhadap 10 individu disyaki ahli sindiket penipuan pelaburan antarabangsa dilanjutkan empat hari untuk siasatan lanjut.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, lanjutan reman kesemua suspek berusia 39 hingga 59 tahun itu bermula hari ini.
“Kesemua suspek adalah tujuh lelaki dan tiga wanita terdiri daripada lima warga United Kingdom (UK), dua Filipina dan tiga warga tempatan
“SPRM sedang giat melengkapkan siasatan bagi tujuan pertuduhan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas berhubung dakwaan terdapat pihak tertentu yang menerima rasuah bagi melindungi operasi sindiket terbabit, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
“Siasatan masih dijalankan dan kita tidak tolak kemungkinan ada pihak berkuasa serta golongan profesional yang melindungi dan menerima rasuah daripada sindiket.
“Sindiket ini bergerak licik kerana mereka kerap berpindah ke satu tempat ke tempat lain,” ujarnya.
Tambah beliau, sindiket antarabangsa ini juga akan memadam serta menghapuskan data atau bukti bagi menyukarkan kegiatan haram mereka dikesan.
Rabu lalu, perintah reman enam hari sehingga 27 Februari dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan SPRM.
Menerusi Op Tropicana yang dijalankan SPRM pada 21 Februari dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri berjaya melaksanakan 24 serbuan termasuk tiga pusat panggilan atau ‘boiler room’, syarikat serta kediaman ahli sindiket.
Sindiket dipercayai telah menipu mangsa yang terdiri daripada warga Australia dan UK dengan memperdaya untuk membuat pelaburan tidak wujud.
Penjenayah penipuan ini dipercayai telah memperoleh kira-kira AUD60 juta (kira-kira RM200 juta) hasil menipu mangsa-mangsa terlibat sejak 2019 sehingga sekarang. – UTUSAN