KUALA LUMPUR: Pada usia 75 tahun, penyanyi terkenal era 1970-an, Datuk DJ Dave masih kekal berstamina dan aktif dalam lapangan aktiviti yang dilakukannya.
Penyanyi lagu Menjelang Hari Raya itu berkata, dia menjaga kesihatan dengan bersenam, bersukan dan mengawasi pengambilan makanan sejak dari zaman muda.
Kongsinya, dia sama sekali tidak pernah bersetuju dengan sebarang suntikan vitamin atau rawatan tertentu yang hanya bersifat sementara.
“Saya tidak pernah suntik apa-apa, tidak perlu buat begitu. Saya tidak bohong sebab Tuhan jadi saksi, saya tidak pernah buat suntikan botox atau seumpamanya.
“Saya hanya kerap melakukan senaman, bersukan dan menjaga pengambilan makanan setiap hari. Malam kelmarin contohnya, saya main badminton sampai dua jam,” katanya semasa ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya ke-75 di Rumah Titian Kasih, Titiwangsa, di sini, semalam.
Semasa majis tersebut, DJ Dave atau nama lengkapnya, Irwan Shah Abdullah mendendangkan tiga lagu dan berbesar hati menyampaikan sumbangan wang tunai dan cenderahati kepada premis tersebut, termasuk setiap penghuni.
Mengulas sambutan tersebut, DJ Dave yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air berkata, perkara itu sudah dilakukan sejak lima dekad lalu.
Katanya, ia adalah usaha murninya meraikan kanak-kanak, golongan istimewa, kurang upaya, asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan.
“Selama 50 tahun dalam industri seni, tradisi itu sudah saya amalkan tanpa mengira bangsa dan agama.
“Sejak kecil, saya sudah dididik supaya sentiasa membahagiakan dan menghargai orang lain tanpa mengira darjat,” katanya.