Muat naik video provokasi, seorang penarik baja ditahan - Utusan Malaysia

Muat naik video provokasi, seorang penarik baja ditahan

PAPARAN klip video berdurasi 35 saat yang dimuat naik di laman TikTok didakwa cuba menimbulkan provokasi dan menjatuhkan imej anggota penguatkuasa trafik. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tindakan seorang penarik baja yang cuba menimbulkan provokasi dengan memuat naik satu klip video berunsur fitnah ke atas anggota penguatkuasa trafik di laman sosial TikTok membawa padah apabila dia ditahan di kediamannya sekitar Jitra, Kedah, pada Sabtu lalu.

Klip video itu dipercayai telah dimuat naik oleh Muhamad Luqman Ahmad Sopian, 39, selepas dia tidak berpuas hati disaman oleh anggota penguatkuasa trafik terlibat sewaktu pemeriksaan rutin di Jalan Kangar-Alor Setar, di sini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, klip video dimuat naik itu adalah satu bentuk fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan terdapat beberapa komen negatif ditinggalkan netizen.

“Video tersebut sengaja dimuat naik bagi mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan berikutan itu satu tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki bagi membantu siasatan,” katanya.

Penularan klip video berdurasi 35 saat itu menerusi laman pemilik akaun TikTok @manbajanaw9438 memaparkan tiga orang anggota penguatkuasa sedang melakukan pemeriksaan rutin ke atas sebuah lori yang pemandunya turut dikenakan empat saman atas kesalahan lalu lintas.

Disebabkan tidak berpuas hati dengan tindakan itu, suspek yang merupakan pemandu lori berkenaan telah bertindak memuat naik klip video itu dengan secara jelas memaparkan wajah dan menjatuhkan maruah anggota penguatkuasa trafik terlibat.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, hasil semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dia ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya.

Dalam pada itu, Yusharifuddin turut menasihati seluruh masyarakat agar tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mendatangkan kebencian terhadap pihak berkuasa khususnya melalui media sosial.

Tambah beliau, tindakan itu boleh menyebabkan tersebarnya kenyataan yang tidak berasas sehingga menghakis keharmonian antara masyarakat dan agensi penguatkuasa.

“Sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan apa jua tindakan yang diambil oleh penguatkuasa khususnya PDRM, boleh majukan pemasalahan yang dihadapi dengan menggunakan saluran yang betul,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya