MSN Perlis giat cungkil bakat baharu di peringkat sekolah - Utusan Malaysia

MSN Perlis giat cungkil bakat baharu di peringkat sekolah

MUHAMMAD Azmir Azizan (lima dari kanan) dan Anuar Abidin (empat dari kanan) bergambar bersama peserta selepas Karnival Sukan MSN Perlis Bersama Media Perlis di Gelanggang Boling Padang Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Sukan Negeri Perlis giat melakukan pencarian bakat-bakat baharu di peringkat sekolah sebagai persediaan bagi mewakili negeri ini dalam kejohanan sukan pada masa hadapan.

Buat masa ini, MSN Perlis telah selesai melakukan pencarian bakat-bakat baharu melibatkan tiga acara sukan iaitu boling padang, olahraga dan angkat berat.

Pengarahnya, Anuar Abidin berkata, inisiatif berkenaan dilakukan bagi mengenal pasti bakat-bakat yang berpotensi untuk diketengahkan dan digilap sejak di peringkat akar umbi lagi.

“Jika kita mengambil pendekatan dengan menunggu sahaja maka Perlis akan kekurangan pelapis dan bakat baharu pada masa hadapan.

“Di samping itu, ibu bapa juga perlu bersama-sama memberi pendedahan kepada anak-anak mereka tentang sukan-sukan yang ada di negeri ini untuk membantu kita mencari bakat baharu,” katanya selepas Karnival Sukan MSN Perlis bersama Media Perlis di Gelanggang Boling Padang Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan.

Dalam pada itu, Anuar berkata, MSN Perlis bersama persatuan sukan di negeri ini turut menggalakkan anak-anak muda untuk menceburkan diri dalam bidang sukan fizikal memandangkan kebanyakan daripada mereka lebih tertumpu kepada sukan digital khususnya selepas pandemik Covid-19.

“Kami dan persatuan sukan di negeri ini sememangnya sentiasa menggalakkan anak-anak muda agar dapat bersama-sama terlibat dalam sukan fizikal ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Azmir berkata, penganjuran karnival sukan itu dapat mengeratkan hubungan dan menyemarakkan budaya bersukan antara peserta terlibat.

Katanya, inisiatif itu juga dapat memberi pengalaman dan pendedahan kepada peserta tentang cara untuk bermain sukan boling padang.

“Peserta dapat selami dan mengetahui secara lebih lanjut cara bermain boling padang untuk bersama-sama membantu dalam mempromosikan sukan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya