KUALA SELANGOR: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bergerak bagi memantau kegiatan pembuangan sampah di tapak pelupusan haram terutama di sekitar Ijok, di sini.
Langkah itu bertujuan mengenakan tindakan sitaan dan kompaun ke atas lori-lori yang membuang sampah di kawasan tersebut sementara tapak berkenaan berada di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor.
Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, pihaknya mengakui aktiviti haram itu masih berlaku namun dipercayai dilakukan pihak luar dari Selangor.
“Namun, kami di peringkat MPKS memang mengeluarkan kompaun ke atas lori yang menghantar dan membuang sampah di kawasan berkenaan.
“Selain pemantauan, kami menggunakan CCTV bergerak di lokasi tertentu bagi mengesan lori dan menyitanya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya ketika ditemui pada program Hijau Lestari 2023 di Bandar Hillpark, Puncak Alam, hari ini.
Program itu mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penanaman sebanyak 25,223 pokok siantan di sekitar Forest Park yang turut bersamaan tarikh hari ini.
Utusan Malaysia pada Disember tahun lalu mendedahkan tindakan pemilik tanah di Kampung Sri Sentosa, Ijok berdekatan tebing Sungai Buloh menjadikan tempat mereka sebagai tapak pelupusan sampah haram.
Lebih menjijikkan, timbunan sampah semakin ‘menggunung’ sepanjang hampir dua kilometer dari persimpangan Jalan Bukit Cerakah dengan keluasannya boleh memuatkan hampir 24 padang bola sepak.
Keadaan itu bukan saja mencacatkan pemandangan malah tapak asal tanah yang berada pada kedudukan rendah terdedah dengan ancaman banjir.
Tinjauan mendapati tapak itu dipenuhi sisa binaan selain sampah pukal dan industri seperti perabot, tong besar, botol plastik serta besi berkarat.
Jelas Rahilah, kompaun yang dikenakan pihaknya terhadap lori maksimum sehingga RM1,000.
“Denda mengikut akta MPKS sedia ada memang amat minimum dan mungkin menyebabkan mereka masih berdegil melakukan kegiatan itu. Namun, saya percaya PDT juga mengambil tindakan lanjut mengenai isu tanah di kawasan pelupusan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya merancang dan membuat pelan tindakan program penanaman pokok siantan itu sejak Disember lalu.
“Pokok renek itu menjadi pokok rasmi MPKS bermula awal penubuhan Unit Landskap dengan mensyaratkan ia perlu ditanam dalam semua kawasan pembangunan dan operasi pentadbiran kami.
“Selain penghijauan, program ini selaras dengan menaiktaraf imej fizikal atau landskap sejajar dengan visi Kuala Selangor Indah dan Bersejarah,” katanya – UTUSAN