Mohon pasport: Kena upah ejen? - Utusan Malaysia

Mohon pasport: Kena upah ejen?

KEDUTAAN China dalam kenyataan di Facebook berkata, pelaksanaan tempoh itu akan berkuat kuasa pada 30 November sehingga 31 Disember ini. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesukaran orang ramai untuk membuat permohonan pasport terus disuarakan dan kali ini seorang pemohon dokumen itu menghadapi masalah berkenaan ketika ber­urusan dengan Jabatan Imigre­sen di sebuah cawangan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Bharu, Kelantan.

Pemohon itu yang mahu dikenali sebagai Siti mendakwa, dia dikenakan caj sehingga RM40 oleh ejen bagi mengupah mereka atau mendapatkan ‘perkhidmatan segera’ hanya untuk membantu mengisi permohonan secara dalam talian (online).

Siti berkata, dia yang mahu memperbaharui pasport bagi pihak ibunya sebelum itu sudah menghubungi kaunter imigre­sen berkenaan sama ada boleh hadir secara terus datang (walk-in) atau perlu memohon secara online.

Pegawai tersebut memaklumkan dia hanya perlu hadir walk-in kerana pasport ibunya sudah tamat tempoh melebihi 10 tahun dan merupakan warga emas.

Sebaik sahaja tiba di pusat perkhidmatan kerajaan itu, pegawai di sana memintanya membuat permohonan secara online pula dan tidak boleh dibuat secara walk-in.

Bagaimanapun selepas mem­beritahu kesukaran mengisi online, pegawai terbabit memin­tanya pergi ke satu kios yang menyediakan perkhidmatan itu dengan dikenakan bayaran sebanyak RM39.90.

“Bila saya memberitahu susah nak mengisi online kerana ada anak kecil dan ibu pula tidak mahir menggunakan aplikasi digital, maka pegawai itu memberi pilihan kepada saya untuk pergi ke kios terbabit.

“Saya bertanya kepada pekerja kios itu, adakah dengan menggunakan perkhidmatannya maka pasport boleh dapat terus tanpa lagi beratur. Malangnya dia beritahu tetap perlu beratur dan kena mendapatkan nombor giliran,” katanya di sini semalam.

Dia yang kecewa dengan situasi itu membatalkan hasrat untuk meneruskan permohonan pasport di UTC itu dan cuba menghubungi Jabatan Imigre­sen di cawangan Jerteh untuk mendapatkan nasihat.

Pegawai di sana memaklumkan dia hanya perlu hadir walk-in dan boleh mendapatkan pasport tanpa memohon melalui online di cawangan itu.

Di cawangan itu, urusan permohonan berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang sejam yang diuruskan sepenuhnya oleh pegawai imigresen di sana tanpa wujudnya satu kios yang menyediakan ‘perkhidmatan tambahan’ itu.

“Timbul persoalan, adakah perkhidmatan ejen luar ini adalah dibenarkan untuk dilantik bagi mengambil alih tugas pegawai imigresen dengan tambahan caj bayaran tidak masuk akal?

“Sekalipun perkhidmatan ejen ini dibenarkan, kenapa cawangan Jabatan Imigresen lain tidak disediakan perkhidmatan ini? Apakah fungsi ejen ini jika tugas asal boleh dilaksanakan pegawai imigresen?” Soalnya.

Katanya, kewujudan ejen yang menawarkan perkhidmatan itu seolah-olah mengambil kesempatan atas kesusahan orang ramai hanya kerana terdesak untuk mendapatkan perkhid­matan kerajaan secara mudah dan cepat.

Ia sekali gus merupakan satu bentuk penganiayaan kepada orang ramai lebih-lebih lagi orang kampung yang tidak tahu menggunakan aplikasi digital dengan cara sebegini.

“Adakah ini juga merupakan satu pekerjaan baharu ‘pengisi permohonan online’ dan jika ya, ia boleh memberi satu pendapatan lumayan.

Bayangkan jika sehari sekurang-kurangnya 20 orang yang guna perkhidmatan ini, sejumlah RM800 dia peroleh sehari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya