Mohd. Shahar cuba nasib lagi tanding Ketua Pemuda UMNO

Mohd. Shahar cuba nasib lagi tanding Ketua Pemuda UMNO

MOHD. SHAHAR ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas tewas pada Pemilihan UMNO 2018, Datuk Mohd. Shahar Abdullah kembali mencuba nasib dalam persaingan kerusi Ketua Pemuda UMNO.

Ahli Parlimen Paya Besar itu mengesahkan beliau  menghantar borang pencalonan Ketua Pemuda UMNO menerusi satu kenyataan hari ini.

Ketika pemilihan UMNO sebelum ini, Mohd. Shahar tewas dengan berada di kedudukan ketiga dengan memiliki 56 undi dalam persaingan empat penjuru yang menyaksikan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menang setelah mendapat 73 undi daripada 189 bahagian.

Mohd. Shahar berkata, beliau menawarkan diri agar diberikan mandat memimpin sebagai Ketua Pemuda UMNO bagi penggal 2023-2026 kerana mahu memastikan sayap pergerakan itu terus menjadi barisan hadapan parti dan jurubicara rakyat dalam segenap lapisan isu melibatkan kepentingan rakyat. 

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, dalam keadaan politik semasa yang sangat dinamik dan sentiasa berubah-ubah, UMNO sudah pastinya akan menghadapi cabaran dan badai yang lebih besar untuk terus kekal relevan dan menjadi suara kepada rakyat kebanyakkan. 

“Tekad saya adalah untuk memastikan Pemuda UMNO akan terus menjadi barisan hadapan parti dan jurubicara rakyat yang utama dalam segenap lapisan isu yang melibatkan kepentingan rakyat. 

“Yang paling utama, penyuburan Pemuda UMNO di peringkat akar umbi perlu dilakukan segera, bagi memastikan penyatuan dan kekuatan kita pemuda sentiasa utuh untuk sederap selangkah melangkah kehadapan, menjadi perisai parti keramat yang kita sayangi,” katanya.

Perkembangan itu menyaksikan perebutan kerusi Ketua Pemuda UMNO pula disahkan setakat ini adalah lima calon iaitu Mohd. Shahar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ahli MT, Datuk Armand Azha Abu Hanifah; Ketua Cawangan UMNO Pandan Tengah Syed Rosli Syed Harman Jamalullail dan seorang lagi ahli UMNO, Meor Hassan Mat Ali.

Sehingga semalam, 11,369 calon telah pun mendaftarkan diri untuk bertanding di peringkat pusat dan juga bahagian seluruh negara dan jumlah ini dijangka meningkat sehingga petang ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN