Mitasa, KKUiTM sambut baik siasatan SPRM terhadap UiTM - Utusan Malaysia

Mitasa, KKUiTM sambut baik siasatan SPRM terhadap UiTM

UiTM
Kerajaan diminta menaikkan gaji sehingga 30 peratus sebagai satu usaha untuk melakukan pela­rasan gaji pensyarah dan penjawat awam. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan menyiasat ketirisan dan salah guna kuasa menyebabkan UiTM Holdings mengalami kerugian sehingga RM157.8 juta.

Kesatuan Kakitangan Akademiknya (Mitasa) dan Kesatuan Kakitangan Umum (KKUiTM) dalam kenyataan bersamanya memaklumkan tindakan berkenaan perlu kerana kerugian itu memberi kesan kepada operasi syarikat tersebut serta menjejaskan imej UiTM secara tidak langsung.

“Kerugian yang dinyatakan hingga mencecah ratusan juta ringgit bukanlah satu angka yang boleh dianggap kecil.

“Dalam pada itu, kami juga mengalu-alukan kenyataan yang dibuat pihak SPRM yang antara lain menyatakan akan memulakan siasatan terhadap dakwaan kerugian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, masyarakat umum khususnya alumni diharapkan tidak mencetuskan sebarang spekulasi dan memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM menjalankan siasatan tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan sayap pelaburan UiTM mengalami kerugian sebelum cukai selama empat tahun berturut-turut pada 2017, 2018, 2019 dan 2021 sebanyak RM157.04 juta.

Manakala dalam tempoh 10 tahun, UiTM Holdings dilapor mengalami kerugian sebelum cukai terkumpul sebanyak RM157.8 juta iaitu jauh lebih tinggi berbanding keuntungan RM26 juta yang dicatatkan pada tahun 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016.

Sehubungan itu, kedua-dua kesatuan kakitangan itu menyambut baik kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi yang turut mengalu-alukan tindakan SPRM dan berharap siasatan telus dan terperinci dibuat.

“Seperti mana yang dinyatakan oleh SPRM sendiri, tidak semestinya kerugian yang dialami berpunca daripada ketirisan atau salah guna kuasa namun ia mungkin berpunca daripada faktor lain yang akan dirungkai kelak.

“Sekali lagi kami mengharapkan agar siasatan yang telus dan terperinci dapat dijalankan sambil memohon agar semua pihak bersabar dan tidak menuding jari kepada sesiapa buat sementara ini,” ujarnya.

Katanya lagi, Mitasa dan KKUiTM berharap isu sedemikian dapat diselesaikan dengan segera sekaligus mengembalikan semula nama baik UiTM yang tercalar ekoran pendedahan mengejutkan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya