Misi bantuan Malaysia ke Syria bakal digerakkan bila-bila masa

Misi bantuan Malaysia ke Syria bakal digerakkan bila-bila masa

MOHD. Ghiath Ibrahim memberikan taklimat mengenai perkembangan gempa dirasai di Syria kepada pegawai Kementerian Luar semalam. - FOTO/IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas Turkiye, kerajaan Malaysia bakal menggerakkan pula misi bantuan kemanusiaan ke Syria pada bila-bila masa di bawah kendalian pihak Kementerian Luar.

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini hari ini, ia susulan perbincangan bersama dengan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Syria di Kuala Lumpur, Mohd. Ghiath Ibrahim.

Mesyuarat yang diadakan di Bilik Operasi Wisma Putra di sini semalam turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Datuk Norman Muhamad.

“Sekretariat ini bagi mendapatkan butiran mengenai situasi sebenar di Syria, lokasi yang terjejas teruk dan turut mengenal pasti keperluan asas kritikal amat diperlukan,” katanya.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya mengesahkan 85 rakyat Malaysia di Syria berada dalam situasi selamat.

Ia berdasarkan maklum balas disalurkan oleh pihak berkuasa Syria sendiri kepada konsul kehormat Malaysia di ibu kota Damsyik susulan tempias gempa di Turkiye minggu lalu.

Negara ini menutup kedutaan besarnya di Syria pada 2012 susulan isu perang saudara yang meletus dan urusan diplomatik diakreditasi kepada pejabat misi di Beirut, Lebanon.

Malaysia sebelum ini telah menghantar seramai 142 anggota dalam pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ke Turkiye.

Malahan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menggerakkan dua buah hospital medan lengkap lebih 30 tan peralatan dengan 38 anggota teknikal dan 50 petugas perubatan.

Mengulas lanjut senario di Syria pula, Wisma Putra berkata, kerajaan sudah mengarahkan satu pasukan peninjau khas ke sana yang turut disertai pelbagai agensi yang berkaitan.

“Ini termasuk wakil daripada Nadma sendiri, ATM, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan serta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Mercy Malaysia,” jelasnya.

Lawatan tersebut ujarnya, amat penting bagi mendapatkan gambaran terkini selain telah membuat penilaian awal di lapangan mengenai bentuk bantuan yang diperlukan di Syria.

Pasukan itu turut membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa di Syria dalam menilai laluan yang lebih selamat untuk perjalanan darat bagi misi penghantaran bantuan.

Menerusi maklum balas kedutaan Syria di ibu negara dan konsul kehormat Malaysia di sana, bekalan makanan dalam bentuk pek dan susu formula amat diperlukan oleh mangsa.

Barangan lain yang sesuai untuk para penduduk terjejas gempa di negara berkenaan turut meliputi bekalan ubat-ubatan dan pelbagai peralatan berbentuk kit bantuan kecemasan.

Justeru, Wisma Putra menyeru warga Malaysia yang ingin membantu mangsa di Syria agar menghulurkan derma kepada Tabung Bantuan Kementerian Luar Negeri (TBKLN).

Mereka boleh berbuat demikian menerusi Affin Islamic Bank Berhad Cawangan Putrajaya dengan nombor akaun 1054 9000 0599 atas nama rasmi tabung itu yang telah dibuka.

Bahkan jelasnya lagi, sumbangan yang disalurkan itu adalah layak untuk dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit rasmi, sila menyatakan butiran sumbangan anda melalui pautan rasmi https://tinyurl.com/yck9tnen,” tambah kenyataan berkenaan lagi.

Walau bagaimanapun, sebarang pertanyaan lanjut mengenai tabung ini boleh dikemukakan terus kepada Sekretariat TBKLN melalui e-mel rasminya iaitu [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya