PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan mana-mana pihak yang ingin melupuskan al-Quran supaya mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa agama terlebih dahulu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan itu bagi mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak berwajib misalnya jabatan agama sebelum pelupusan dilakukan bagi menjaga kesucian al-Quran.
Kata beliau, masyarakat juga diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes 13 naskhah al-Quran dibuang di dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang dekat sini pada 19 Februari lalu.
“PDRM sedang berusaha memastikan pelaku yang terlibat segera dikesan. Siasatan berkaitan kes ini masih lagi dijalankan, elak membuat sebarang spekulasi kerana polis akan pastikan individu bertanggungjawab akan diambil tindakan sewajarnya.
“Masyarakat dinasihatkan tidak gusar kerana polis bersama agensi pihak berkuasa lain akan memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu polis dengan tampil atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
“Keterangan lapan individu telah diambil berhubung kejadian terbabit,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 52 tahun.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dilaporkan berkata, sebuah klip video mengenai penemuan al-Quran itu tular di platform media sosial TikTok.
Pengadu sedang beriadah bersama suaminya ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan di tasik itu.
Hasil pemerhatian, pengadu mendapati senaskhah al-Quran dalam keadaan terbuka dan terkeluar dari beg berkenaan.
Pengadu kemudian meminta bantuan daripada seorang lelaki yang berada berdekatan untuk membawa naik beg terbabit.
Katanya, semua naskhah al-Quran berkenaan dibawa ke Masjid Annas, Kampung Selayang Lama, sebelum laporan polis dibuat. – UTUSAN