Menyamar pegawai polis samun dan cabul wanita

Menyamar pegawai polis samun dan cabul wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Seorang lelaki bertindak melampau apabila tidak hanya menyamar sebagai pegawai polis untuk menyamun seorang lelaki, malah turut mencabul isteri mangsanya itu, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superitenden Arriz Sham Hamezah berkata, menerusi laporan dibuat mangsa, dia mendakwa suspek berusia 30 tahun mendekatinya ketika dia membantu membaiki kereta seorang rakan yang rosak di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Katanya, mangsa mendakwa suspek yang menunggang motosikal seorang diri memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dan meminta kad pengenalan lelaki tersebut serta rakannya untuk diperiksa.

“Namun selepas kononnya membuat ‘semakan’, suspek secara tiba-tiba merampas telefon bimbit mangsa. Sebelum beredar, dia sempat berpesan kepada mangsa agar hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang sekiranya mahu tuntut semula telefon itu,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, suspek kemudian bertindak menghubungi isteri mangsa dan memperdayakannya dengan mendakwa suami wanita itu ditahan polis.

“Suspek mendakwa dia boleh melepaskan mangsa namun mahu terlebih dulu perlu berbincang sebelum berbuat demikian. Untuk itu, suspek mengajak wanita berkenaan berbincang di sebuah kawasan perumahan.

“Wanita itu yang diselubungi perasaan bimbang kemudiannya bersetuju bertemu suspek. Sebaik tiba ke lokasi ditetapkan, suspek terus masuk ke dalam kereta wanita tersebut dan memujuknya untuk melakukan hubungan seks,” katanya.

Tambahnya, isteri mangsa menolak permintaan suspek menyebabkannya lelaki itu berang lalu mencabul wanita tersebut.

“Selepas kejadian itu, wanita tersebut pulang ke rumah dan bertemu suaminya yang sudah kembali ke kediaman mereka. Ketika itulah pasangan suami isteri terbabit sedar ditipu dan mengambil keputusan melaporkan perkara tersebut kepada polis,” katanya.

Susulan itu, polis berjaya menahan suspek di depan sebuah premis di Taman Sri Pendang, kira-kira pukul 3.30 petang hari sama dan merampas sebuah beg serta kotak hitam berisi syabu, kondom dan telefon bimbit.

Suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk disiasat mengikut Seksyen 354, Seksyen 170 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya