Menu Rahmah untuk kucing

Menu Rahmah untuk kucing

HAMISAH Abd. Hamid menjual 'Makanan Kucing Rahmah' di kedai runcitnya di Kampung Pogoh, Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang peniaga makanan kucing memperkenal pakej ‘Makanan Kucing Rahmah’ dengan menjualnya pada harga RM4 sebungkus sejak dua minggu lalu.

Hamisah Abd. Hamid, 55, berkata, inisiatif itu menerima sambutan baik dan menarik ramai pelanggan termasuk dari luar Segamat ke kedainya.

“Sebelum ini saya menjual sebungkus makanan kucing yang mengandungi perisa ikan dan campuran perisa ikan laut dengan berat 300 gram (g) hingga 400g pada harga RM4.50 dan RM4.80.

“Konsep Menu Rahmah itu tidak harus dikecilkan hanya bagi makanan manusia. Ini kerana pembelian makanan haiwan juga memberi impak ekonomi kepada pencinta haiwan tersebut.

“Pengusaha produk lain sewajarnya turut serta supaya dapat dinikmati semua golongan masyarakat terutama sekali golongan B40,” katanya ketika ditemui di kedai runcitnya di Kampung Pogoh, di sini, semalam.

Hamisah berkata, langkah memperkenal ‘Makanan Kucing Rahmah’ juga dapat membantu lebih ramai pencinta haiwan untuk bersedekah kepada kucing jalanan.

“Walaupun menawarkan bungkusan makanan kucing dengan harga lebih rendah, saya masih memperoleh keuntungan. Pada hari pertama, sebanyak 50 peket bungkusan makanan kucing terjual dalam masa 40 minit sahaja.

“Saya terkejut dengan sambutan ini. Jadi, saya tambah bekalan dan semalam, 65 bungkus terjual serta akan tambah lagi jika permintaan meningkat,” katanya sambil memberitahu setiap belian dihadkan dua bungkus sahaja bagi memberi peluang kepada pelanggan lain.

Sementara itu, seorang pelanggan, Umar Othman, 53, berpuas hati dengan harga Makanan Kucing Rahmah yang ditawarkan.

“Saya baru tahu mengenai kewujudan Makanan Kucing Rahmah ini dan baru kali pertama membelinya. Bagi saya, harga RM4 ini sangat berbaloi dan lebih jimat.

“Kalau sebelum ini saya berbelanja untuk enam ekor kucing mencecah RM10 sehari, tapi sekarang boleh buat dua kali makan dalam sehari. Saya berharap ada lebih banyak lagi kedai yang menawarkan Makanan Kucing Rahmah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya