SEREMBAN: Inisiatif program Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu mengurangkan kos kehidupan seharian rakyat turut disambut pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai di sini.
Ia menerusi pengenalan hidangan makanan berharga RM5 di kafeteria-kafeteria universiti tersebut yang mampu memberi manfaat kepada lebih 16,000 mahasiswa universiti berkenaan.
Menerusi harga RM5 berkenaan, mahasiswa boleh mendapatkan sepinggan nasi putih bersama lauk pilihan ayam atau ikan bersama sayur pada setiap hari.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata, ia merupakan usaha yang dilakukan oleh pengurusan kafeteria universiti tersebut.
“Setakat ini dimulakan dengan kafeteria Kolej Kediaman 1. Pihak universiti telah memohon kepada semua pengurusan kafeteria dan kolej serta bangunan lain di sini untuk turut melaksanakannya.
“Insya-Allah ia akan dilaksanakan secara berperingkat jadi kami mengharapkan supaya semua dapat memberikan kerjasama untuk menjayakan agenda ini sebelum berakhir bulan Februari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, peniaga, Muhamad Amirudin Akmal Ismail, 30, berkata, pihaknya telah memulakan Menu Rahmah untuk mahasiswa USIM sejak 17 Februari lalu.
“Tentunya ini membantu mahasiswa untuk mendapatkan menu yang lebih murah. Saya menawarkan kepada mereka menu seperti nasi putih yang dihidangkan bersama ayam cincang dan kari dalca bagaimanapun ia bertukar pada setiap hari,” katanya lagi.
Seorang mahasiswa, Nurafifah Amira Zaharuddin, 21, pula berkata, pengenalan Menu Rahmah di kampus USIM sangat disambut baik terutama untuk membantu mahasiswa sepertinya mengurangkan kos yang ditanggung setiap hari.
“Sehari saya akan menggunakan wang lebih RM15 hanya untuk makan, apabila terdapat Menu Rahmah ini ia amat sesuai dan dapat mengurangkan perbelanjaan kami di sini,” katanya lagi.