Mengalir air mata terima pampasan caruman arwah isteri

Mengalir air mata terima pampasan caruman arwah isteri

SHAFIANPANDI Zainul (kiri) bersama anak perempuannya yang kemalangan tidak dapat menahan perasaan sedih ketika menerima pampasan di bawah SKSSR yang dicarum arwah isteri di Kampung Bahagia, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang nelayan hanya mampu mengalirkan air mata ketika menerima sejumlah pampasan di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang didaftarkan oleh arwah isteri dalam diam-diam.

Shafianpandi Zainul, 63, berkata, dia hanya mengetahui tentang caruman itu beberapa hari sebelum isterinya, Che Tom Lah, 51, menghembuskan nafas akhir akibat Covid-19, Disember tahun lepas.

“Saya mendapat tahu arwah isteri mendaftar skim itu hanya beberapa hari sebelum meninggal dunia. Saya percaya dia berasakan masanya sudah ‘tamat’ dan itu adalah sumbangan terakhirnya kepada keluarga kami.

“Saya memberitahu anak lelaki yang masih bersekolah untuk menggunakan wang itu bagi pendidikannya ke universiti kelak,” katanya ketika ditemui di Kampung Bahagia, Kota Sarang Semut, semalam.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, Rafidah Abd. Rahim menyantuni keluarga tersebut dan menyampaikan pampasan berupa faedah di bawah skim berkenaan termasuk bantuan pengkebumian berjumlah RM2,000 daripada Perkeso.

Selain itu, anak lelaki Shafianpandi, Muhammad Nabil, 17, layak menerima pencen penakat RM300 setiap bulan sehingga berusia 21 tahun atau selepas menamatkan pengajian di peringkat universiti.

Menurut Shafianpandi, pampasan tersebut melegakan keluarganya yang berdepan dengan banyak ujian terutama selepas kematian isterinya.

“Sebulan selepas kematian isteri, dua anak kembar saya, Sofia Atirah dan Sofia Azidah, 22, terlibat dalam kemalangan dahsyat yang menyebabkan Sofia Azidah mengalami patah tulang paha.

“Saya berasa sedih kehilangan isteri tercinta. Kemalangan yang menimpa anak perempuan saya adalah satu lagi tamparan hebat buat keluarga saya,” katanya yang tidak mampu lagi turun ke laut kerana masalah kesihatan.

Sementara itu, menurut Rafidah setakat ini, hanya kira-kira 4,900 suri rumah di Kedah mendaftar di bawah skim itu.

“Peserta tidak perlu mempunyai sebarang pekerjaan terlebih dahulu untuk mendaftar bagi skim ini. Ia adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menyokong wanita di negara ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya