Mayat tiga beranak mangsa gempa bumi runtun hati bomba - Utusan Malaysia

Mayat tiga beranak mangsa gempa bumi runtun hati bomba

PENGARAH JBPM Perak, Azmi Osman (tengah) memakaikan pangkat kepada Shahrul Nizam Murad pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Bandar Meru Raya di Ipoh hari ini. -UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mengeluarkan mayat seorang ibu dan dua anak di bawah runtuhan bangunan dalam tragedi gempa bumi di Gaziantep, Turkiye awal bulan ini amat meruntun hati Pegawai Bomba Kanan I, Shahrul Nizam Murad, 47.

Shahrul Nizam yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping itu berkata, naluri bapanya cukup tersentuh apabila melihat wajah si kecil yang sudah tidak bernyawa erat dalam pelukan ibu.

Malah bapa kepada lima anak itu juga menitiskan air mata menyaksikan jari si anak masih erat dalam genggaman ibu mereka.

“Pada hari keempat di sana, kami terima maklumat ada mayat di bawah runtuhan. Mulanya, kami lihat bahagian belakang kanak-kanak sebelum menjumpai seorang wanita di bawahnya seolah-olah sedang memeluk.

“Di samping mayat dua mangsa tersebut, terdapat seorang kanak-kanak lelaki sedang menggenggam tangan wanita itu. Keadaan mereka bertindih di bawah runtuhan lantai bangunan.

“Apabila selesai korek, barulah nampak satu persatu, memang masa itu saya sebagai bapa yang ada lima anak, rasa sedih sampai meleleh air mata,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Bercerita lanjut pengalamannya selama 20 hari menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) itu, Shahrul Nizam berkata, meskipun berasa terkesan melihat ribuan mangsa terkorban, dia cuba menguatkan semangat bagi memastikan misi pasukan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Malah katanya, sokongan yang diterima pasukan penyelamat negara daripada penduduk tempatan seakan memberi semangat meskipun mereka berdepan kesukaran termasuk faktor cuaca sejuk melampau.

“Semasa di sana, berlaku beberapa gegaran susulan namun tidak berlaku runtuhan bangunan. Lagipun lokasi penempatan pasukan kita di kawasan stadium dan di atas padang. Jadi tidak berapa risau sangat sebab jauh dari bangunan.

“Cuma pahit getirnya pada waktu malam sebab cuaca di sana negatif dan kawasan pula berbukit, jadi pada waktu malam agak teruk sikit, dengan kurang kelengkapan, memang sejuk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga anggota Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) berkata, itu adalah misi pertamanya ke luar negara melibatkan SAR gempa bumi.

“Sebelum ini, saya pernah menyertai Op Jerebu Riau, Indonesia pada tahun 1997 dan ini kali pertama terlibat dalam misi kemanusiaan.

“Sekiranya ditawarkan untuk menyertai misi seperti ini lagi, sudah tentu saya akan terima demi tugas kepada jabatan dan ihsan sesama manusia,” katanya yang baru kembali ke tanah air semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya