Masyarakat Cina teruja jejak kaki di masjid Kepala Batas 

Masyarakat Cina teruja jejak kaki ke masjid Kepala Batas 

MOHD. LUKMANUL HAKIM Mokhtar (dua dari kiri) dan Wong Soon Ping (empat dari kiri) bersama sebahagian komuniti Cina pada Majlis Penyerahan Sumbangan Komuniti Cina di Majlis Abdullah Fahim Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Meskipun sambutan Tahun Baharu Cina sudah 25 hari berlalu, masih belum terlambat bagi kariah Masjid Abdullah Fahim Kepala Batas di sini, menyantuni komuniti Cina di kawasan itu melalui penganjuran Majlis Sumbangan Komuniti Cina.

Imam Utama Masjid Abdullah Fahim, Mohd. Lukmanul Hakim Mokhtar berkata, program yang pertama kali diadakan itu dihadiri oleh 27 keluarga Cina yang memerlukan bantuan di sekitar Taman Mekarsari dan Taman Bertam Putra, di sini.

Menurut beliau, program itu diadakan bagi menarik minat golongan bukan Islam supaya lebih mengenali agama Islam dan komunitinya dengan lebih dekat sekali gus menggambarkan Islam adalah agama perdamaian, sejahtera dan tidak menindas mana-mana kaum atau agama lain.

“Malah, program ini turut mendapat pandangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang menyatakan pandangan ia adalah harus,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis itu, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang peserta, Ong Chin Hao, 68, dari Taman Mekarsari berasa teruja dan seronok apabila pertama kali menjejakkan kaki ke dalam masjid yang digambarkan sangat selesa selain persekitaran yang bersih dan terjaga.

“Sebelum ini memang selalu lalu (hadapan masjid), dan terdetik bilakah saya berpeluang dapat masuk ke masjid.

“Sebab itu, saya rasa amat teruja apabila mendapat jemputan dari pihak masjid baru-baru ini untuk menghadiri majlis ini,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Wong Soon Ping berkata, penganjuran program seumpama itu dilihat mampu mengubah persepsi masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam dan komuniti Muslim itu sendiri.

“Program ini sememangnya mampu mengeratkan hubungan yang harmoni dalam kalangan masyarakat bukan Islam dan komuniti Muslim.

“Malah, melalui program ini juga kami didedahkan dengan maklumat berguna mengenai masjid dan sejarah di sebaliknya serba sedikit selain didedahkan mengenai cara mengambil wuduk dan solat yang merupakan satu pengalaman baharu buat kami,” katanya.

Terdahulu, pihak pengurusan masjid turut mengadakan aktiviti melawat sekitar masjid, simulasi wuduk dan solat seterusnya majlis penyampaian sumbangan kepada keluarga yang terlibat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya