SHAH ALAM: Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau Mass Comm dikeluarkan daripada gabungan Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) selepas satu pertemuan khas bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diadakan hari ini.
Keputusan itu dicapai dan dipersetujui dalam pertemuan antara Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor bersama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Husaini Omar yang turut disertai Presiden Persatuan Alumni Mass Comm, Basree Rakijan.
Menurut Basree, keputusan FKPM tidak digabung, dimaklumkan KPT selaras dengan pengumuman dibuat Roziah pada Oktober lalu.
“Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pengajian Tinggi, Noor Azleen Ambros yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut menegaskan jenama Mass Comm sudah sinonim dengan UiTM dan melihat universiti perlu memperkasakan lagi FKPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut serta dalam pertemuan tersebut adalah Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Prof. Dr. Haryani Haron dan Ketua Pengajian Komunikasi dan Media, Dr. Wan Hartini Wan Zainodin baru.
Justeru, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhada pihak KPT yang memberikan reaksi positif berhubung bantahan dan pandangan terhadap penggabungan tersebut dibuat sebelum ini.
Jelas Basree, FKPM yang ditubuhkan pada 50 tahun lalu merupakan sebuah fakulti yang memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara.
“FKPM perlu diperkasakan lagi terutama dalam era komunikasi digital yang begitu mencabar ketika ini. Sehubungan itu, pihak alumni bersedia untuk bekerjasama dengan FKPM bagi melaksanakan beberapa program yang dikenal pasti demi memperkasakan jaringan universiti dengan industri,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan berhubung polemik penggabungan di antara tiga fakulti tersebut yang hendak digabungkan menjadi satu kolej yang dikenali sebagai Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Media.
Selain tiga fakulti tersebut, universiti terbesar itu turut menggabungkan beberapa fakulti lain membentuk kolej pengajian. – UTUSAN