PUTRAJAYA: Martabat negara mampu diangkat ke tahap lebih tinggi sekiranya amalan pentadbiran kerajaan diubah melalui kekuatan dan tekad baharu dengan membebaskan rakyat dan negara dari keterlanjuran yang berlaku.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pimpinan kerajaan dan penjawat awam perlu meletakkan keutamaan itu dengan membebaskan segala bentuk perhambaan dan penindasan, memperbodohkan dan memiskinkan serta mengambil harta rakyat sehingga hak mereka tersisih.
Beliau berkata, walaupun nampak ada keinginan dalam kalangan pimpinan dan penjawat awam mengorak langkah lebih pantas, namun masih wujud kecuaian di peringkat penguatkuasaan.
“Perlu ada tanggungjawab bahawa setiap sen yang kita belanjakan itu dipertanggungjawabkan. Tapi tentunya masih ada di peringkat penguatkuasaan saya lihat ada lagi sedikit sebanyak kecuaiaan, kalau tidak ditangani akan menyebabkan rakyat resah,
“Kita kata bebaskan perhambaan, tetapi terpaksa berbaris berjam-jam untuk mendapatkan apa-apa lesen dan sebagainya, itu bagi saya perlu diperbaiki.
“Saya selalu ambil contoh, apakah kalau saya terpaksa berbaris di situ, kalau dikatakan jumlah miskin tegar sekian-sekian peratus, apa kata kalau keluarga saya dalam kategori itu? Kalau kita melihat dari segi itu baru lah maksud bebaskan manusia dari segala bentuk perhambaan sekali gus boleh memberi makna kepada madani,” katanya ketika berucap dalam perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri Bulan Februari, di sini hari ini.
Anwar berkata, bukan saja tokoh politik, tetapi semua peringkat kepimpinan mesti ada semangat dan komitmen menyeluruh untuk membebaskan dan menjadikan Malaysia ini madani.
Beliau pada masa sama tidak mahu terpukau dengan slogan baharu atau menambah satu lagi slogan untuk dihafal, tetapi makud kepada slogan itu perlu difokuskan terutama barisan jemaah menteri dan penjawat awam untuk bekerja sebagai satu pasukan dengan elemen amanah dan percaya.
“Saya tidak nafikan setiap arahan, setiap perjumpaan ada kesungguhan, baik soal pengurusan pekerja asing atau beberapa dasar lain seperti menangani banjir atau keputusan semalam menghantar pasukan SMART dalam keadaan segera ke Tukiye,” katanya. – UTUSAN