Masa akaun UMNO dibekukan, mereka kata proses biasa - Mahfuz

Masa akaun UMNO dibekukan, mereka kata proses biasa – Mahfuz

MAHFUZ Omar (kanan) ketika melakukan tinjauan pelaksanaan Menu Rahmah di Pasaraya Mydin Taman Saga, Alor Mengkudu di Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sikap kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilihat terlalu ‘kelam-kabut’ susulan pembekuan akaun parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menimbulkan keraguan mengenai apa yang cuba disembunyikan mereka.

Malah, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Datuk Seri Hamzah Zainudin menuduh kononnya agensi kerajaan dijadikan sebagai alat bagi mencapai matlamat politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga sesuatu tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, tuduhan sedemikian menampakkan kepimpinan Bersatu seolah-olah lidah bercabang kerana sikap dan kenyataan dikeluarkan mereka sewaktu akaun UMNO dibekukan suatu ketika dulu, berbeza berbanding ketika akaun mereka dibekukan kini.

“Sewaktu akaun UMNO dibekukan dulu, mereka kata itu merupakan proses biasa dilakukan SPRM dalam menjalankan siasatan. Tetapi hari ini, tindakan SPRM itu dibantah pula apabila agensi kerajaan tersebut menyiasat parti mereka.

“Berkenaan tuduhan kononnya agensi kerajaan dijadikan sebagai alat pula, mereka perlu sedar bahawa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pernah dedah mengenai campur tangan dalam agensi itu di akhir perkhidmatannya. Jadi perkara sebegitu sebenarnya telah berlaku sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

“Maka tak perlulah mereka tuduh orang lain. Perbuatan sedemikian hanya menampakkan mereka ini seolah-olah lidah bercabang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pelaksanaan Menu Rahmah di Pasaraya Besar Mydin, Alor Mengkudu di sini, hari ini.

Sebelum ini, Hamzah mendakwa, Bersatu kesal terhadap tindak-tanduk kerajaan PH dan BN yang menjadikan agensi kerajaan sebagai alat mencapai matlamat politik untuk membunuh kredibiliti Bersatu serta Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, sifat ‘gentar’ serta ‘takut’ yang ditunjukkan kepimpinan Bersatu itu menunjukkan seolah-olah mereka tahu daripada mana datangnya wang yang berada dalam akaun tersebut.

“Nampaknya semacam ada yang tidak kena dengan akaun itu. Mungkinkah jumlah wang yang diperkatakan itu lebih besar daripada RM300 juta seperti digembar-gemburkan sebelum ini? Jika ini sikap ditampilkan mereka, saya rasa rakyat akan makin yakin mengenai kemungkinan wujudnya unsur-unsur tertentu dalam perolehan wang tersebut,” katanya.

Diminta mengulas mengenai perkembangan hubungan antara PH dan BN di Kedah, Mahfuz yang juga Pengerusi PH Kedah mengakui masih belum ada perbincangan serius berhubung perkara itu.

“Belum ada perbincangan serius tetapi kedua-dua gabungan ini ada bercakap tentang perkara itu secara tidak rasmi. Kami yakin gabungan ini mampu memecah dominasi Pas di Kedah kerana tiada apa yang mustahil dalam politik.

“Di Terengganu pernah terjadi Pas hanya perintah sepenggal ketika Tan Sri Abdul Hadi Awang jadi Menteri Besar dan itu tidak mustahil berlaku di sini, apatah lagi kerajaan Kedah ini hanya tertubuh hasil pengkhianatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya