Martabak mini, roti canai Pak Ali RM1 - Utusan Malaysia

Martabak mini, roti canai Pak Ali RM1

MOHD. Ghazali Hussin tidak berasa rugi walaupun menjual roti canai dan martabak mini pada harga RM1 ketika ditemui di gerainya di Kelang Lama, Kulim, Kedah. – UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Meskipun berdepan kenaikan harga barangan asas yang mendadak, seorang peniaga makanan tetap menjual roti canai serta martabak mini dengan hanya RM1 di gerainya di Kelang Lama, di sini.

Gerai Roti Canai dan Murtabak Ekonomi Pak Ali yang terletak berhampiran Arked Mara Kulim Mall itu beroperasi seawal pukul 7 pagi dan sering menjadi tumpuan orang ramai untuk bersarapan atau membungkus sebelum ke tempat kerja masing-masing.

Menurut pemiliknya, Mohd. Ghazali Hussin, 53, dia menjalankan perniagaan roti canai dan martabak sejak 22 tahun lalu dan sehingga kini harganya tetap sama iaitu RM1.

Katanya, sejak akhir-akhir ini harga barangan asas semakin naik terutama tepung, telur ayam dan beberapa barangan lain sehingga memaksa kebanyakan peniaga menaikkan harga makanan dijual mereka.

“Kenaikan harga barangan makanan juga menyebabkan kerajaan mewujudkan Menu Rahmah untuk rakyat sebagai inisiatif, bagi saya pula Menu Rahmah saya adalah roti canai dan martabak mini yang dijual dengan harga RM1.

“Kebanyakan penduduk di kawasan ini sudah mengenali saya kerana setiap hari saya berniaga di sini. Malah, setiap tahun di sepanjang bulan Ramadan saya akan menjual martabak mini di tapak bazar Ramadan Kelang Lama,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, walaupun terasa dengan kenaikan harga barangan, namun perkara itu tidak terlalu menjadi beban kepadanya yang turut berniat untuk beramal selain mencari sumber pendapatan melalui jualan pada harga rendah.

“Harga barangan memang sudah naik sekarang, namun daripada segi kualiti dan kuantiti bahan untuk martabak terutamanya, saya masih kekal jumlahnya tanpa mengurangkan bahan dan saiz makanan itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya