KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar seluruh pihak memanfaatkan ledakan teknologi digital ke arah memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara.
Titah baginda, pendigitalan terkini seperti analisis data raya (BDA), kecerdasan buatan (AI), internet untuk segala-galanya (IoT) dan pengkomputeran dapat mempertingkatkan kecekapan perniagaan dan industri.
“Ia sekali gus menjadikan sasaran kos efektif dapat dijayakan,” titah baginda selepas berkenan berangkat menerima sembah mengadap Pengerusi Cement Industries of Malaysia (CIMA) Berhad, Datuk Zaiviji Ismail dan Pengarah Urusannya, Sharuddin Omar Hashim bersempena Program Ziarah Kasih Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) badan korporat berkenaan di Perlis hari ini.
Baginda turut meluangkan masa mendengar maklumat berkaitan perkembangan terkini CIMA selain dipersembahkan mengenai impak ekonomi loji simen dan konkrit di Perlis yang telah diasaskan sejak tahun 1972.
Sementara itu, Sharuddin berkata, CIMA amat berbangga kerana dalam usia separuh abad ini, pelbagai kejayaan telah dicapai selain telah memberikan sumbangan begitu besar dalam pembangunan fizikal negeri dan juga negara.
“CIMA telah membuktikan keupayaannya dalam pembangunan negara dengan membekalkan bahan-bahan berkaitan simen kepada projek-projek utama mega di Malaysia termasuk Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Lebuh Raya Utara-Selatan, Nusajaya, Iskandar Malaysia, MRT Lembah Klang dan Projek Jejambat Dua Elektrik (EDTP).
“Semuanya ini telah menjadikan CIMA sentiasa relevan sehingga kini,” katanya.- UTUSAN