Malaysia pasukan terawal ASEAN masuk Syria hantar bantuan

Malaysia pasukan terawal ASEAN masuk Syria hantar bantuan

ZAMBRY Abdul Kadir berbual bersama pasukan peninjau khas yang akan berlepas ke Syria di KLIA, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pasukan Malaysia melakar sejarah sebagai kumpulan pertama dari rantau Asia Tenggara dibenarkan masuk ke Syria untuk misi bantuan kemanusiaan mangsa gempa.

Malah, menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, pasukan peninjau khas itu antara terawal dari luar negara selepas sekatan sejagat ditarik buat sementara waktu.

“Alhamdulllah, pasukan kita muncul antara negara paling awal di dunia dapat masuk ke sana sejurus sekatan global dilonggarkan beberapa hari lalu,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni seramai 21 anggota dari pelbagai agensi yang menyertai kumpulan itu di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Mereka berlepas pada pukul 11.15 malam dengan menaiki pesawat Turkish Airlines penerbangan TK63 dan dijangka tiba di Istanbul sekitar 5.45 pagi esok waktu tempatan.

Pasukan itu diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Datuk Norman Muhamad termasuk wakil pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), pasukan tentera, polis, Kementerian Kesihatan, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Mercy Malaysia.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, situasi di Syria sebenarnya agak teruk selepas dilanda tempias gempa dari jirannya, Turkiye minggu lalu dengan hampir 6,000 orang terbunuh.

“Keadaan di sana juga cukup sukar setelah beberapa tahun dikenakan sekatan dunia dan mujur digantung seketika untuk memudahkan penghantaran misi bantuan asing,” katanya.

Bahkan ujar beliau, pasukan Malaysia perlu terbang ke Beirut, Lubnan kerana tiada akses langsung ke negara itu dan bergerak ke ibu kota Syria, Damsyik sebelum ke lokasi gempa.

Hasil tinjauan oleh pasukan itu akan dilaporkan bagi penghantaran misi bantuan seperti di Turkiye dan mereka bakal mengenal pasti apakah keperluan kritikal dan urusan logistik.

Justeru beliau membayangkan, Malaysia akan mendirikan hospital medan di Syria kerana prasarana kesihatan negara itu banyak yang musnah susulan sekatan dunia sebelum ini.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak kerajaan Syria yang sedia membantu pasukan Malaysia memandangkan zon terjejas bencana itu masih agak bergolak dengan perang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya