PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar membayangkan sedia memohon kuota tambahan jemaah haji Malaysia.
Meskipun tidak dinyatakan secara lebih spesifik, isu kuota berkenaan ujar beliau, akan cuba dimohon daripada pihak kerajaan Arab Saudi menerusi kaedah budi bicara istimewa.
“Demi membolehkan lebih ramai umat Islam di Malaysia menunaikan fardu haji, kita juga cuba memohon pertimbangan khas terus daripada kerajaan Arab Saudi sendiri,” jelasnya.
Terdahulu, beliau mengadakan sesi pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.
Kuota rasmi jemaah haji Malaysia ditetapkan sejak 2020 lalu sebanyak 31,600 orang sahaja berdasarkan ketetapan hanya 0.1 peratus daripada jumlah populasi sebenar negara ini.
Keadaan itu mengakibatkan individu yang mendaftar untuk mengerjakan haji pada hari ini akan diberi tempoh giliran tunggu amat lama sehingga mencecah 130 tahun akan datang.
Situasi tersebut menyebabkan ada jemaah yang berusia lanjut mencuba nasib memohon visa furada dan visa mujamalah dikeluarkan pihak Kedutaan Diraja Arab Saudi di ibu negara.
Walau bagaimanapun, banyak kes penipuan dilakukan oleh agensi pelancongan tertentu dengan ratusan bakal jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pada 10 Januari lepas, Mohd. Na’im mengumumkan Malaysia mendapat balik kuota asal jemaah haji berbanding musim 2022 lalu ditolak 45 peratus kepada cuma 14,306 jemaah.
Mengulas lanjut, beliau turut mengumumkan hasrat Malaysia bagi menambah kuota rasmi jemaah haji kepada 31,950 orang pada musim ibadah Rukun Islam kelima itu tahun depan. – UTUSAN