KUALA LUMPUR: Negara mampu mencipta kejayaan di saat berhadapan ketidaktentuan cabaran ekonomi mendatang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan Madani harus punyai keupayaan untuk menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga untuk menterjemah kebijakan baharu.
“Kendatipun begitu, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengajak pimpinan politik, pengemudi kementerian serta penjawat awam, selain para pengusaha dan rakyat untuk menerima kenyataan bahawa negara mampu mencipta lonjakan.
“Ia agar tatanan ini tidak hanya dapat diteladani negara tetangga serantau tetapi seantero dunia juga, dan pada masa sama membenih keyakinan di kalangan rakyat,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2023.
Terdahulu, Anwar memaklumkan Malaysia perlu menempuh ketidaktentuan ekonomi dunia dengan kadar inflasi terus menekan disebabkan harga komoditi dunia yang masih tinggi dan gangguan rantaian bekalan makanan saat ini kesan daripada perang Rusia-Ukraine.
Tambah beliau lagi, Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia 2023 yang menyederhana pada 2.9 peratus ketimbang 3.4 peratus pada tahun lalu.
“Sektor perdagangan di peringkat dunia juga diunjur lembab pada kadar 2.4 peratus berbanding 5.4 peratus tahun 2022.
“KDNK 2022 Malaysia mencatat pertumbuhan 8.7 peratus disebabkan asas KDNK 2021 yang rendah susulan dampak hentakan wabak Covid-19,” katanya.
Tetapi menurutnya, bagi memberi gambaran penuh prestasi ekonomi, ia perlu dilihat bersama dengan pertumbuhan sukuan yang mencatat penurunan iaitu suku pertama (3.8 peratus), suku kedua (3.5 peratus), suku ketiga (1.9 peratus) dan suku keempat (negatif 2.6 peratus).
Sementara itu, Anwar memberitahu pelaburan belum mencapai prestasi sebelum pandemik apabila meraih pelaburan RM297.5 bilion tahun lalu iaitu 9.4 peratus lebih rendah ketimbang 328.5 bilion ringgit pada 2019.
“Kedudukan Malaysia dalam Senarai Daya Saing Dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) juga telah jatuh ke tangga 32.
“Sedangkan kita pernah duduki tangga ke-12 bilamana pelabur meyakini keupayaan ekonomi kita dan kecekapan jentera penyampaian awam,” katanya. – UTUSAN