PUTRAJAYA: Konsep Malaysia Madani amat penting didalami dan difahami semua peringkat penjawat awam kerana ia membawa pengertian lebih jauh daripada takrifan kebiasaan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, konsep itu tidak boleh dilihat sebagai satu fahaman politik dan slogan semata-mata tetapi perlu diterjemahkan kepada usaha murni yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Menurut beliau, agenda Malaysia Madani perlu dizahirkan pelaksanaannya dalam bentuk tindakan dan gerak kerja yang pantas dan berimpak tinggi, untuk itu beberapa gerak kerja telah dan akan dilaksanakan dengan kadar segera.
Pertama, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) yang dahulunya dikenali sebagai Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), akan bertindak sebagai agensi yang bertanggungjawab memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan program dan inisiatif bitara Malaysia Madani oleh kementerian dan agensi berjalan lancar.
“Kedua, agensi pusat seperti pengurusan sumber manusia oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, pengurusan kewangan oleh Kementerian Kewangan, pengurusan projek oleh Unit Pemantauan dan Penyelarasan, pengurusan digital oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia, serta perancangan ekonomi oleh Kementerian Ekonomi perlu berperanan dengan lebih proaktif sebagai pemacu strategi dalam Kerangka Strategik Malaysia MADANI.
“Agensi pusat harus memperkasakan kemampuan, kebolehan dan sumber bagi mendokong keberkesanan operasi strategik kementerian dan agensi dengan lebih efektif,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2023 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zuki berkata, gerak kerja ketiga ialah setiap teras strategik dan nilai asas Malaysia Madani perlu diperhalusi pelaksanaannya.
Katanya, sebagai contoh di dalam Teras Pertama, iaitu Memperkasa Usahawan dan industri kecil sederhana (IKS), apakah strategi, mekanisme pelaksanaan, implikasi kewangan, sasaran dan keberhasilan yang diharapkan?
Hal ini, kata beliau perlu diperjelaskan dan bersifat telus supaya rakyat nampak dan merasai manfaat keberhasilannya, bukan sekadar tertera di atas kertas semata-mata.
“Pada masa kini, pelaksanaan Menu Rahmah cukup popular dan ia adalah salah satu contoh inisiatif Madani yang bersifat menyentuh langsung nurani rakyat.
“Justeru, saya berharap setiap kementerian dan jabatan perlu ada sekurangnya-kurangnya inisiatif seumpama Menu Rahmah ini bagi mendokong agenda Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN