KUALA TERENGGANU : Prihatin dengan nasib pesakit kanser yang bergelut dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan kehidupan, Primula Beach Hotel mengambil inisiatif mengadakan majlis makan malam bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
Pengurus Besar hotel tersebut, Suaibah Harun berkata, majlis makan malam tersebut yang akan berlangsung pada 11 Mac ini akan menampilkan penyanyi rock legenda, Datuk Awie.
Menurutnya, Primula Beach Hotel menyasarkan jualan meja penuh dengan anggaran kehadiran 470 orang, terutama peminat Awie dari seluruh Malaysia.
“Harga jualan meja ini ditawarkan dengan empat kadar harga berbeza bermula dari RM3,000 hingga RM9,000.
“Kami berharap ramai yang akan membeli tiket untuk menghadiri majlis makan malam amal ini kerana selain dapat mendengar dendangan lagu hits dari Awie, dapat juga membantu kelangsungan hidup pesakit kanser,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, hari ini.
Mereka yang berminat mahu membeli tiket untuk hadir ke majlis makan malam amal tersebut boleh menghubungi talian 012-985 3215 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN