Majikan jangan guna alasan tak tahu - Utusan Malaysia

Majikan jangan guna alasan tak tahu

V. SIVAKUMAR dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) minggu depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Golongan majikan diingatkan agar tidak menggunakan alasan ‘tidak tahu’ berhubung pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, alasan yang diberikan itu tidak munasabah ekoran pengumuman berkaitan perkara itu telah beberapa kali dilakukan oleh kementerian.

“Apa juga undang-undang yang kita ada, sama ada yang dipinda atau apa pun undang-undang yang telah diluluskan di Parlimen, mesti dikuti.

“Pindaan undang-undang Akta Kerja 1955 ini pun telah dibuat di Parlimen tahun lepas di mana (pindaan termasuk) masa kerja dikurangkan daripada 48 jam kepada 45 jam.

“Jadi, undang-undang sudah ada, adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan semua majikan untuk mengikuti undang-undang yang diluluskan itu,” katanya pada sidang akhbar pada lawatan kerja rasmi ke Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC) di sini hari ini.

Sivakumar berkata demikian bagi mengulas gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar kementeriannya mengambil tindakan keras kepada majikan yang mengingkari perlaksanaan Akta Kerja 1955.

Menurut Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, pelbagai taktik dan helah majikan untuk menafikan faedah pekerja termasuk tiada arahan bertulis daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berkaitan perkara itu.

Mengulas lanjut Sivakumar berkata, pelaksanaan akta berkenaan juga bukan dilakukan serta-merta, sebaliknya majikan telah diberikan masa secukupnya bagi merealisasikan pembaharuan dalam undang-undang buruh di negara ini.

“Perkara ini telah diumumkan dan kenyataan media pun sudah dibuat. Jadi, saya tidak mahu ada apa-apa alasan daripada majikan yang mengatakan mereka tidak tahu tentang undang-undang yang diluluskan di Parlimen.

“Baru tahun ini kita laksanakan undang-undang tersebut dan saya sendiri telah membuat kenyataan media beberapa kali berhubung perkara ini. Saya rasa itu (tidak tahu) tidak seharusnya dijadikan alasan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan bersetuju melaksanakan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 pada 1 Januari 2023.

Akta Kerja 1955 yang sepatutnya berkuat kuasa 1 September lalu itu melibatkan pindaan berkaitan penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya