MAINPP, ZPP sumbang RM250,000 untuk mangsa gempa bumi Turkiye - Utusan Malaysia

MAINPP, ZPP sumbang RM250,000 untuk mangsa gempa bumi Turkiye

AHMAD ZAKIYUDDIN Abdul Rahman (tengah) pada sidang akhbar pengumuman prestasi kutipan dan agihan zakat ZPP bagi tahun 2022 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa gempa bumi di Turkiye, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyumbang sebanyak RM250,000.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sehubungan itu, satu tabung khas kutipan derma akan dilancarkan.

Katanya, pelancaran itu akan dibuat di masjid-masjid di seluruh negeri untuk tempoh dua kali Jumaat iaitu pada 17 dan 24 Februari ini.

“Satu arahan akan dikeluarkan kepada semua pegawai tadbir agama (PTA) daerah bagi tujuan koordinasi.

“Saya juga menyeru semua pihak yang bersimpati tampil membantu saudara-saudara kita yang terkesan dengan tragedi itu dan semoga sumbangan ini juga diharap meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika majlis pengumuman prestasi kutipan dan agihan zakat bagi tahun 2022 yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali di Bandar Perda, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin memberitahu, ZPP mencatatkan prestasi agak baik dalam tadbir urus kutipan dan agihan zakat sepanjang tahun lepas.

Katanya, secara keseluruhannya kutipan zakat yang direkodkan adalah sebanyak RM150,144,855.61 iaitu meningkat 1.97 peratus berbanding tahun sebelumnya (RM2,905,083.22).

Beliau berkata, zakat harta mencatatkan jumlah kutipan sebanyak RM143,546,763.64 berbanding RM141,219,358.71 pada 2021 yang didorong oleh peningkatan jumlah pembayar zakat atau muzakki sebanyak 2.76 peratus iaitu 77,895 berbanding 75,746 tahun sebelumnya.

“Sementara itu, jumlah kutipan zakat fitrah bagi tahun 1443H/2022 juga meningkat sebanyak 9.59 peratus iaitu sebanyak RM6,598,091.97 berbanding RM6,020,413.68 iaitu melibatkan seramai 808,689 pembayar zakat fitrah berbanding 775,422 pembayar sebelum itu,” katanya.

Jelas Ahmad Zakiyuddin, jumlah agihan zakat tahun lepas turut meningkat sebanyak 9.11 peratus iaitu RM155,178,694.81 berbanding RM142,224,809.10.

Bagaimanapun, katanya, bilangan penerima zakat atau mustahiq menurun sebanyak 1.15 peratus iaitu daripada 40,711 pada 2021 kepada 40,243 orang tahun lepas.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, ZPP turut mengumumkan tiga skim agihan zakat yang ditambah baik melalui pelarasan baharu kadar amaun sagu hati antara RM100 hingga RM700.

Katanya, skim tersebut ialah Skim Agihan Kewangan Sekaligus iaitu kenaikan kadar antara RM100 hingga RM200; Skim Agihan Kewangan Bulanan melibatkan kenaikan kadar sebanyak RM100 selain Skim Agihan Perubatan Rawatan Dialisis iaitu kenaikan sebanyak RM700 sebulan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya