SHAH ALAM: Pendengaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap pendakwaan memuat naik kenyataan jelik oleh Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos ditetapkan pada 18 Mei ini.
Mahkamah menetapkan pendengaran tersebut selepas Jamal sebelum ini dilepas dan dibebaskan terhadap pendakwaan berkelakuan demikian dalam akaun Facebooknya, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan demikian selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan sebagai perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak dan Jamal,53, sebagai responden pada prosiding pengurusan kes.
“Saya minta responden (Jamal) memberi kerjasama kepada pihak pendakwaan termasuk kedudukan alamat terkini digunakannya. Kalau tidak hadir (pada tarikh sebutan semula), waran tangkap akan dikeluarkan,” katanya.
Terdahulu pada peringkat awal prosiding, Zuraini memaklumkan sebutan sebelum ini dilakukan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah sebanyak enam kali, bagaimanapun hanya pembantu dan kakitangan responden sahaja berjaya dihubungi bagi tujuan permohonan rayuan semakan kehakiman ini.
“Saya minta pegawai penyiasat menghubungi responden dan dapat semalam untuk hadir ke mahkamah. Dokumen berhubung rayuan belum lengkap dan memohon tangguh ke tarikh lain supaya mendapatkan alasan penghakiman dari mahkamah rendah sebelum ini (Mahkamah Sesyen Ampang),” jelasnya.
Sementara itu, responden diwakili Peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin memaklumkan pada tarikh sebelum ini serahan kehadiran adalah di rumah responden di Ampang sementara responden di Sungai Besar.
“Pada peringkat Mahkamah Sesyen, responden dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut. Kami tunggu semua dokumen tersebut dan akan mengemukakan representasi supaya pihak pendakwaan meneliti semula dalam rayuan ini,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Jamal dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan memuat naik video kenyataan jelik dalam laman FB.
Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Jamal di akhir kes pendakwaan itu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Jamal didakwa secara sedar memuat naik dua video kenyataan-kenyataan jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain yang kemudian dilihat pada 20 Ogos 2020 pukul 12 tengahari di Taman Dagang Avenue di sini.
Kesalahan itu dilakukan melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan Profil Datuk Sri Jamal Yunos di pautan www. facebook.com/watch/live masing-masing pukul 10 pagi dan 3 petang pada 19 Ogos 2020.
Bagi kedua-dua kesalahan itu, Jamal didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) akta sama iaitu denda maksimum RM50,000, penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – UTUSAN