KANGAR : Sekumpulan 20 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) melaksanakan aktiviti motivasi di Kampung Lubok Merbau Pedu bersama penduduk setempat di situ.
Pelajar terbabit bersama Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM, Dr. Kamarul Azman Khamis turut meluangkan masa menyertai aktiviti gotong-royong dan menyertai majlis kenduri seorang penduduk di kawasan tersebut.
Program kasih antara mahasiswa dan masyarakat kampung tersebut turut disertai para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedu.
Kamarul Azman berkata, aktiviti motivasi berkenaan diadakan bagi meraikan masyarakat di kampung berkenaan selain mengeratkan hubungan silatulrahim bersama penduduk.
Katanya, aktiviti itu berlangsung dalam suasana meriah dengan semangat kekeluargaan antara pelajar dan penduduk
“Aktiviti motivasi ini dijalankan dalam meraikan masyarakat yang bertepatan dengan seruan Perdana Menteri dalam melahirkan masyarakat Madani yang penuh dengan keharmonian.
“Kita juga meraikan masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan umur,” katanya di sini hari ini.-UTUSAN