Lulus segera KWSP bersasar, ia bukan dana kerajaan - Muhyiddin

Lulus segera KWSP bersasar, ia bukan dana kerajaan – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar bukan menggunakan dana kerajaan dan ia perlu diluluskan  segera.

Itu desakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Kerajaan Perpaduan hari ini sekali gus mengurangkan beban dihadapi rakyat ketika ini.

Menurutnya, ia bukan membabitkan perbelanjaan dana kerajaan (bukan fiskal), namun sehingga hari ini masih tidak dilaksanakan.

“Sebahagian rakyat menuntut wang KWSP dikeluarkan kerana ia boleh mengurangkan beban rakyat. Ada pihak yang cakap jika wang KWSP dikeluarkan, pencarum akan berdepan masalah pada masa depan.

“Ya, tanggapan itu betul tetapi perkara itu soal kedua, namun jika kerajaan tidak luluskan sekarang rakyat akan berdepan masalah sedangkan mereka ada simpanan boleh guna,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran Ahli Parlimen Putrajaya di Presint 8 di sini, hari ini.

Katanya, sebahagian besar rakyat yang mengundi dan memilih kerajaan baharu penat menantikan tindakan segera oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Muhyiddin berkata, ketika beliau memimpin kerajaan sebelum ini, kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP seperti i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari, selain memberi moratorium penangguhan bayaran pinjaman bank.

“Kenapa kerajaan sekarang tidak boleh teruskan perkara itu bagi membantu rakyat. Tiada langkah berkesan ditunjukkan kerajaan bagi meyakinkan rakyat.

“Sebaliknya kerajaan hari ini mengumumkan perkara bukan utama iaitu ‘tak perlu paparkan cukai jalan di cermin kereta’ ini bukan apa yang diharapkan rakyat sekarang,” katanya.

Katanya, apabila Kerajaan Perpaduan dibentuk, rakyat mengharapkan kerajaan menyelesaikan masalah kos sara hidup kerana ada rakyat yang masih terkesan selepas pasca pandemik Covid-19.

Jelasnya lagi, rakyat masih terbeban dengan pelbagai isu seperti kos sara hidup tinggi, inflasi, harga barang yang tidak turun dan harga petrol yang dijanjikan turun.

Isu pengeluaran KWSP turut mendapat perhatian seorang lagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, malah Ahli Parlimen Bera itu memberi jaminan akan membawa isu itu ke sidang Parlimen minggu depan.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak lagi membenarkan pengeluaran wang KWSP atas alasan untuk menjamin masa depan pesaraan pencarum.

Malah, katanya, kerajaan akan mencari mekanisme lain tanpa memberi impak terhadap pencarum ketika bersara nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya