ALOR SETAR: Kira-kira 50,000 penduduk negeri ini membanjiri Dataran Medan Bandar, di sini malam tadi untuk mengikuti tazkirah dan sembang santai penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI.
Program tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bermula pada pukul 10 malam dengan tazkirah UAI berkaitan Israk Mikraj selama lima minit.
Dalam tazkirah tersebut, beliau menggembalikan peristiwa Israk Mikraj itu dengan menceritakan kepimpinan Rasulullah SAW dan kepentingan sebagai umat Islam untuk mengingati Baginda.
“Ingat Israk Mikraj ingat kepimpinan hebat Rasulullah SAW. Sampai dalam hati kita resap kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan setakat tampal pelekat kereta sahaja,” seru agamawan itu.
Celoteh Ustaz Azhar yang pernah mendapat pendidikan awal di bandar raya ini juga menjadikan penonton tidak kering gusi terutama kemampuannya bertutur dalam loghat Kedah.
UAI berada di Kedah sejak kelmarin dalam sesi dakwahnya termasuk mengadakan ceramah di Merbok, dekat sini semalam.
Selain ceramah, beliau turut meluangkan masa sembang santai bersama Muhammad Sanusi selama lebih 30 minit dalam program sempena Karnival Kedah Sejahtera 2023 itu.
Tidak ketinggalan, UAI mengadakan sesi soal jawab daripada penonton yang turut membanjiri pekarangan Masjid Zahir itu sebelum program tersebut berakhir kira-kira 11.30 malam.
Seorang pengunjung, Abu Bakar Ali, 57, dari Pokok Sena memberitahu, mereka enam beranak tiba di dataran tersebut seawal 9 malam untuk menyaksikan ceramah UAI.
“Bukan selalu dapat tengok program agama macam ini, sempena cuti sekolah saya turut bawa isteri dan tiga anak kami bersama,” katanya.