ALOR SETAR: Lima beradik yang tinggal di Kubang Rotan di sini hidup sebatang kara setelah ibu mereka meninggal dunia akibat kanser perut, tiga tahun lepas.
Demi tidak mahu berpisah kerana bimbang ditempatkan di rumah kebajikan atau diambil keluarga angkat, Nordini Shafiqah Mohd. Noor, 21; Muhammad Amir Daniel, 18; Muhammad Irfan, 17; Nurdini Elyana, 15, dan Nurdini Qalisya, 10, kini menumpang kasih dengan datuk dan nenek mereka.
Khamis Salleh, 65, dan Jamariah Zakariah, 60, juga hidup serba kekurangan sekali gus mengakibatkan mereka tidak mampu menyekolahkan empat daripada adik-beradik tersebut kecuali yang bongsu.
Kata Jamariah, dua daripada mereka, Nordini Shafiqah dan Muhammad Amir Daniel merupakan orang kurang upaya (OKU) iaitu menghidap masalah pembelajaran sejak lahir.
“Apabila ibu mereka meninggal dunia, kami jaga mereka kerana jika tidak cucu-cucu saya akan dihantar ke rumah kebajikan dan mungkin berpisah.
“Rasa ralat tidak mampu menyekolahkan mereka kerana tidak mampu kecuali yang kecil,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini semalam.
Menurut Jamariah, mereka hanya meraih pendapatan hasil jualan kuih-muih dan kesihatan suami yang pernah membuat kerja-kerja kampung tidak begitu baik setelah menjalani pembedahan perut, tiga tahun lepas.
“Ada yang minta nak jaga mereka sebagai anak angkat. Tetapi saya tak sanggup pisahkan mereka. Rumah ini pula kami buat atas tanah orang dengan ihsan mereka. Bila kami tak ada nanti entah macam mana nasib mereka,” katanya.
Mereka yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank milik Jamariah, 152095746692. – UTUSAN