DUNGUN : Seorang lelaki pesakit mental dikhuatiri lemas selepas terjun dari Jambatan Paka, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, seorang penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut mendakwa melihat mangsa berusia 31 tahun terjun dari jambatan tersebut kira-kira pukul 9.10 malam.
“Pada awalnya, sepasukan bomba yang menerima panggilan kecemasan daripada dua pengguna jalan raya, telah bergegas ke lokasi, namun setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati tiada sebarang kesan mencurigakan.
“Pihak bomba juga cuba menghubungi pemanggil yang membuat aduan, namun panggilan tidak dijawab dan gagal dihubungi,” katanya di sini, hari ini.
Baharudin berkata, bagaimanapun, selepas insiden tersebut tular di laman sosial Facebook, seorang wanita yang bimbang mengenai keselamatan anaknya telah membuat laporan polis.
“Wanita tersebut memberitahu, anaknya yang mengidap gangguan bipolar,
memberitahu dia pening dan sakit kepala serta hendak terjun ke dalam Sungai Paka.
“Pakaian yang dipakai semasa keluar adalah baju t-shirt putih dan berseluar hitam, sama seperti yang diberitahu seorang lagi saksi lain,” katanya.
Baharudin berkata, usaha pencarian mangsa telah digerakkan bersama agensi bomba dan penyelamat serta beberapa pasukan lain. – UTUSAN