LUMUT: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas ke dalam longkang besar di Taman Desa Permai, Jalan Dato Seri Kamaruddin, Seri Manjung di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 38 tahun dan memandu seorang diri meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Pegawai Bomba Kanan II Adde Noor Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.05 pagi.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati sebuah kereta Perodua Kancil telah terbabas ke dalam parit sedalam kira-kira tujuh meter.
“Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, anggota pasukan menggunakan peralatan khas dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Jelas beliau, pasukan perubatan yang berada di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 10.12 pagi. – UTUSAN