Lelaki ditahan bersama 4kg dadah - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan bersama 4kg dadah

DADAH jenis heroin dan ganja yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Sitiawan semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis menahan seorang lelaki bersama dadah jenis heroin dan ganja seberat hampir empat kilogram dipercayai untuk diedarkan di sekitar negeri ini, dalam satu serbuan di sebuah rumah di Sitiawan dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi itu, polis menemui lapan pek dadah dipercayai heroin seberat 3.45 kg serta dua pek dadah dipercayai ganja yang dimampatkan seberat 440 gram.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai RM122,750 mengikut nilai pasaran semasa dan boleh menampung keperluan kira-kira 9,000 penagih dadah.

“Suspek yang berusia dalam lingkungan 40 tahun didapati positif dadah jenis morphin menerusi saringan air kencing manakala semakan mendapati dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki warga tempatan itu aktif mengedar dadah sekitar Perak sejak 2021.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut menyita tiga kenderaan yang ditemui di rumah tersebut iaitu sebuah kereta Toyota Camry, kereta Perodua Myvi serta motosikal Honda RSX dianggarkan bernilai RM98,000.

Jelas beliau, rampasan itu dilakukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Menurutnya lagi, suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 19 Februari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Beliau mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan orang ramai sehingga berjaya membanteras kegiatan pengedaran dadah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya